tunku_3rd_mscc_meeting_800px
Sejarah

Memorandum Penubuhan Malaysia

03 Februari 1962 – Memorandum Penubuhan Malaysia telah dipersetujui dan ditandatangani pada tahun 1962. Jawatankuasa Perundingan Setiakawan Malaysia (MSCC) yang juga dikenali sebagai Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia berputik hasil daripada ucapan Tunku Abdul Rahman di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh berdiri sendiri dalam usaha membendung komunisme di rantau ini. Bagi membentuk benteng kukuh menghadapi ancaman tersebut, satu rancangan atau gagasan yang boleh mengikat kerjasama politik dan ekonomi antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak hendaklah dibentuk.

Tujuan penubuhan Malaysia dijelaskan lagi oleh Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 4 November 1961 :

“kita mempunyai niat dan tujuan yang bersih terhadap negeri-negeri ini untuk melepaskan mereka daripada takluk penjajah. Dengan percantuman itu kelak, mereka dengan sendirinya akan menjadi negeri-negeri yang merdeka bersama-sama dengan kita dalam sebuah kerajaan yang bersatu”.

Reaksi Dan Tentangan

Berbagai reaksi telah diterima mengenai Gagasan Malaysia daripada pemimpin dan rakyat di Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan juga di Semenanjung sendiri. Sebahagian menyokong manakala sebahagian menentang.

Tentangan hebat dihadapi terutama daripada pemimpin UNKO dan Pasok Momogun kerana kebimbangan dan ketidakfahaman mereka mengenai konsep Malaysia. Pada Julai 1961 UNKO, SUPP dan Parti Rakyat Brunei bergabung membentuk United Front untuk menentang gagasan Malaysia.

Mereka bimbang Persekutuan Tanah Melayu akan menjadi koloni penjajah yang baru dan jawatan-jawatan yang bakal dikosongkan oleh pegawai-pegawai British akan diisi oleh hanya pegawai-pegawai dari Persekutuan dan Singapura. Mereka juga bimbang terhadap dominasi politik orang Melayu dan persaingan daripada orang-orang Cina dari Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tentangan juga dihadapi daripada gabenor-gabenor British di Borneo Utara dan Sarawak kerana merasakan Borneo Utara dan Sarawak masih belum bersedia dari segi politik. Manakala di Singapura pula, walaupun cadangan Malaysia disokong kuat namun terdapat juga tentangan terutama dari golongan anti-PAP.

Kerajaan British yang menyokong gagasan Malaysia telah menghantar beberapa perwakilan untuk mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Tunku Abdul Rahman, Gabenor Sarawak, Gabenor Borneo Utara dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei. Pertemuan juga diadakan di antara Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew dan dengan Perdana Menteri Britain, Sir Harold MacMillan.

tunku_ASA

Tunku ketika mengutarakan gagasan Malaysia.| Foto : Arkib Negara

Pembentukan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia

Satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Sabah anjuran kerajaan British telah diadakan di Singapura pada 23 Julai 1961. Para perwakilannya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Hasil daripada mesyuarat tersebut satu jawatankuasa telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia atau Malaysian Solidarity Consultative Committee (MSCC) yang juga dikenali sebagai Jawatankuasa Setiakawan Malaysia.

Semasa mesyuarat ini berlangsung, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei dan tujuan utama penerangan ini dijalankan adalah untuk mengurangkan dan mengelakkan salah faham tentang penubuhan Malaysia.

Ia telah menyebabkan persefahaman yang kukuh dan satu persetujuan dicapai untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Mereka juga bersetuju bahawa Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh wakil dari wilayah-wilayah yang terlibat dalam pembentukan Malaysia. Donald Stephens telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa.

Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menerangkan dengan lebih teliti dan jelas akan konsep negara Malaysia kepada rakyat dengan lebih kerap, khususnya rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei. Jawatankuasa tersebut mengambil langkah mengumpul dan membandingkan idea-idea berkaitan dengan struktur pembentukan Malaysia supaya rancangan untuk merealisasikan penubuhan Malaysia dapat dicepatkan.

Ahli Jawatankuasa tersebut turut mencari jalan untuk mendapat persetujuan daripada semua pemimpin-pemimpik politik di semua daerah yang terbabit. Jawatankuasa ini telah mengadakan pertemuan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 24 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Tun_Fuad_Stephens

Tun Fuad Stephen (Donald Stephens)

Persidangan Terakhir

Persidangan keempat dan yang terakhir berlangsung di Dewan Victoria, Singapura. Yang Dipertuan Negara Singapura, Encik Yusof bin Ishak telah merasmikan persidangan ini. Ahli jawatankuasa serta wakil-wakil dari lima buah negeri yang dirancangkan untuk memasuki Persekutuan Malaysia yang turut hadir adalah :

  • Encik Donald Stephen sebagai Pengerusi,
  • Datu Mustapha bin Datu Harun wakil Sabah,
  • Encik Lee Kuan Yew wakil Singapura,
  • Encik Yeo Cheng Hoe wakil Sarawak,
  • Datuk Setia Pengiran Ali bin Pengiran Haji Mohd. Daud wakil Brunei
  • Encik Mohd. Khir Johari wakil Persekutuan Tanah Melayu.

Di akhir persidangan, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia telah sepakat dan mempersetujui bahawa Parti-Parti Politik yang tumpuan taat setianya ditujukan kepada kuasa-kuasa di luar Persekutuan Malaysia kelak, tidak harus mendapat tempat dalam gabungan negeri-negeri Malaysia.

Persetujuan lain yang telah dicapai ialah:

  • Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab untuk keselamatan di dalam negeri termasuk keselamatan umum di seluruh Persekutuan Malaysia, haruslah mempunyai kedua-dua kuasa perundangan dan eksekutif.
  • Wilayah-wilayah Borneo harus mempunyai kuasa untuk mengawal gerakan rakyat daripada Bahagian-bahagian lain Persekutuan Malaysia yang masuk kedalam daerah-daerah berkenaan.
  • Kuasa mengawal kemasukan rakyat Persekutuan ke Wilayah Borneo bagi membendung kemasukan anasir-anasir komunis.
  • Peruntukan biasiswa yang sama rata untuk mengurangkan jurang taraf pelajaran di antara negeri.
  • Melatih anak-anak negeri Borneo untuk mengambil alih pentadbiran dan mengisi jawatan perkhidmatan awam.

Memorandum Penubuhan Malaysia yang mengandungi 44 perkara berkenaan dengan perlembagaan dan pentadbiran Persekutuan Malaysia yang dirancangkan itu telah disediakan dan ditandatangani pada 3 Februari 1962 untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold sebagai asas perundingan Suruhanjaya itu kelak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard