PBMUM_logo

Penubuhan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya

29 Januari 1955 – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada asalnya ditubuhkan sebagai Persekutuan Bahasa Melayu di Singapura pada 29 Januari 1955 dengan 27 ahli. Penubuhan persatuan ini telah dijayakan dengan sokongan daripada pensyarah dan mahasiswa dari fakulti sastera, termasuk Lukman Musa, Noh Abdullah, Tahir Abdul Rahman dan Fatimah Hasyim.

 

Ungku_Abdul_Aziz
YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid

 

Gagasan utama membentuk persatuan ini berasal daripada Profesor diRaja Ungku Aziz dan Pendeta Za’ba yang tegas dalam menubuhkan satu persatuan mahasiswa Melayu yang boleh yang akan memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera dan Bahasa Melayu. Dengan sokongan kuat daripada individu-individu dan sarjana di universiti, keahlian PBMUM terus meningkat daripada 202 tahun 1956 kepada 721 pada tahun 1965.

Prinsip utama PBMUM pada tahun 1954 adalah untuk menggesa kerajaan Malaya untuk merasmikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaya. Terkesan daripada suara dan perjuangan PBMUM, Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu (Malayan Council) akhirnya bersetuju pada 31 Mei 1955 untuk mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaya.

 

Zainal_Abidin_Ahmad_zaaba_400
Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad (za’ba)

 

Dalam tahun 1959, setelah Universiti Malaya di Kuala Lumpur ditubuhkan, pusat operasinya turut sama berpindah dan PBMUM mula mengalihkan tumpuan kepada Malaysia. Pada tahun 1969 namanya diubah secara rasmi kepada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

 

Perlembagaan PBMUM

 

Ketekalan PBMUM dalam isu-isu perkembangan bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu dapat diperhatikan dalam perlembagaan PBMUM (1969):

  1. Berusaha mengembangkan bahasa Melayu dan menggalakkan penggunaannya.
  2. Memberi sumbangan yang konkrit untuk perkembangan serta kemajuan kesusasteraan dan kekayaan perpustakaan Melayu.
  3. Mengembangkan kesenian dan kebudayaan Melayu.
  4. Menggalak dan menjalankan pengajian dalam lapangan kesenian dan kebudayaan Melayu.
  5. Mengambil tahu berkenaan dengan pelajaran bahasa Melayu dan berusaha untuk memberi sumbangan yang sewajarnya.

 

university_malaya_library_1959_bw
Perpustakaan Universiti Malaya 1959

 

PBMUM telah muncul sebagai badan yang kuat dalam gerakan pelajar-pelajar universiti, yang lebih mementingkan majlis-majlis diskusi, seminar dan forum-forum mengenai politik, ekonomi dan pelajaran. Diantara isu penting yang pernah diperbahaskan di majlis-majlis diskusi ialah masalah pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan penubuhan Universiti Kebangsaan yang telah diperjuangkan dengan gigih sekali dalam tahun 1968.

Pada tahun 1969 pula, PBMUM melakukan penstrukturan semula pendiriannya untuk turut memperjuangkan isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pelajaran serta memainkan peranan yang lebih kukuh dalam pembentukan negara.

Sejak ditubuhkan suku abad yang lalu, PBMUM telah menunjukkan perkembangan yang membanggakan, dari sebuah persatuan kecil, PBMUM telah menjadi badan pelajar yang penting dan kuat di Universiti Malaya dan di negara ini. Buktinya pada bahasa dan kebudayaan Melayu telah tercatat dalam sejarah negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.