Ronda_Cegah_Jenayah-800px
Sejarah

Pelaksanaan Sistem Salleh

07 Jun 1968 – Arahan Sistem Salleh telah mula dilaksanakan di semua Komponen dan Kontinjen Polis Di Raja Malaysia pada tahun 1968. Sistem Salleh ialah satu konsep yang dikemukakan oleh Tun Mohamed Salleh bin Ismael, Ketua Polis Negara dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan melibatkan orang ramai secara langsung. Sistem mencegah jenayah sebelum ini tidak begitu berkesan, dan peningkatan kadar kejadian jenayah dalam pertengahan tahun 1960-an.

Tun Mohamed Salleh bin Ismael

Tun Mohamed Salleh bin Ismael

Pada September 1967, Cawangan Penyelidikan dan Perancangan Polis Di Raja Malaysia telah merangka dan menyusun satu konsep baru yang dinamakan Sistem Salleh, iaitu mengambil nama Ketua Polis Negara pada masa itu Tun Mohamed Salleh bin Ismael. Operasi sistem Salleh melibatkan aktiviti rondaan dan mewujudkan ‘beat base‘ atau pondok polis di kawasan seperti pasar, tempat tumpuan orang ramai, kawasan perumahan, kampung-kampung dan Bilik Maklumat diwujudkan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dijalankan.

Untuk menguji keberkesanan sistem ini, ia telah cuba dilaksanakan di daerah Petaling Jaya pada bulan Februari, 1968. Percubaan ini ternyata berkesan dan berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan Petaling Jaya. Sehubungan itu arahan dikeluarkan pada 7 Jun 1968 menerusi Perintah Pasukan PDRM supaya sistem ini dilaksanakan di semua Kontinjen PDRM.

Arahan itu juga menjelaskan dengan terperinci tujuan-tujuannya, iaitu:

  • memupuk perasaan orang ramai melalui cara berdampingan dengan orang-orang yang menjalankan beat supaya mendapat kepercayaan;
  • memberi bantuan dengan segera kepada orang ramai dengan cara bersedia ke atas panggilan bantuan dan menerima pengaduan-pengaduan;
  • memudahkan kerja dengan menambah dan memperbaiki aliran maklumat;
  • menyediakan satu sistem yang menarik dengan tujuan melindungi atau mengurangkan kadar jenayah.
  • menanam semangat kepada pegawai-pegawai polis berhubung dengan tugas-tugas mereka dengan cara menyatukan pengetahuan yang didapati;

pondok polis sistem salleh

Sistem ini dilaksanakan dengan cara:

  • Setiap kawasan balai polis dibahagikan kepada patrol, sektor, ward dan zon dengan garis sempadan yang jelas menunjukkan di mana letaknya kawasan itu, faktor-faktor persaingan, luas dan sebagainya. Satu beat atau lebih; atau satu patrol atau lebih atau satu beat dan satu patrol boleh dijadikan satu sektor. Dua sektor atau lebih menjadi satu ward. Dua ward atau lebih menjadi satu zon.
  • Pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel diberi tanggungjawab di atas kawasan-kawasan tertentu untuk membolehkan mereka faham kawasan masing-masing dan bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian yang berlaku akibat kecuaian polis.
  • Setiap zon di bawah pengawasan pegawai dan Anggota Pangkat Rendah yang menjaga ward. Pegawai zon pula bertanggungjawab kepada Ketua Polis Daerah.
  • Anggota Pangkat Rendah/Konstabel yang dipilih mengawal dan menjalankan tugas beat; patrol dan sektor akan ditempatkan sekurang-kurangnya 12 bulan untuk membolehkan mereka mengetahui selok-belok kawasan dan penduduk-penduduknya.
  • Pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel dikehendaki mengkaji, berkenalan dan berhubung mesra dengan penduduk kawasan masing-masing untuk mewujudkan keyakinan orang ramai terhadap mereka. Mereka juga mesti berusaha mengumpulkan sebarang maklumat mengenai kawasan masing-masing.
  • Kalau boleh, pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel akan tinggal di dalam kawasan masing-masing dan bergerak di kawasan mereka.
  • Dengan adanya pengetahuan yang lengkap tentang setiap penduduk dalam kawasan masing-masing, sebarang kejadian akan mudah dikesan.
  • Dengan pengetahuan itu juga akan mewujudkan keyakinan dan keselamatan anggota-anggota polis untuk menjalankan tugas-tugas mereka.
  • Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh anggota-anggota polis dikawasan masing-masing akan mempertingkatkan lagi kecekapan dan mewujudkan sikap bertanggungjawab di kalangan anggota.

Sejak diperkenalkan, Sistem Salleh terbukti dapat mengekang, mengawal dan membasmi jenayah serta mewujudkan kerjasama dan sokongan orang ramai terutama dalam usaha membasmi jenayah dapat terus dipertingkatkan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia , PDRM

Standard