03 Mac 1967– Pada tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan dengan 95 undi menyokong dan 11 undi menentang. Tujuan Rang Undang-undang ini digubal adalah bagi melaksanakan ketetapan di dalam Bab 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang tunggal.
Rang Undang-undang ini digubal setelah genap tempoh 10 tahun penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-undang Bahasa ini menetapkan bahawa mulai 1 September 1967 hanya bahasa Kebangsaan yang boleh digunakan dalam urusan rasmi.
Namun, demi kepentingan awam, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan, iaitu melalui penggunaan terjemahan daripada bahasa-bahasa tersebut. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu juga dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris.
Perbicaraan yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah boleh dijalankan sama ada dalam bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris atau sebahagian dalam bahasa Kebangsaan dan sebahagian lagi dalam bahasa Inggeris.
Seksyen-Seksyen Akta
Akta ini mengandungi 11 seksyen iaitu:-
- Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuat kuasa.
- Bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud rasmi.
- Menggunakan terjemahan.
- Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dilanjutkan.
- Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan.
- Teks yang sahih bagi undang-undang.
- Undang-undang bertulis yang dikanunkan sebelum 1 September 1967.
- Bahasa mahkamah.
- Tulisan bagi bahasa kebangsaan.
- Bentuk angka.
- Borang.
Sumber : Arkib Negara Malaysia, AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67(pdf)