majlis_amanah_raya
Sejarah

Undang-Undang Mara Dikuatkuasakan

01 Mac 1966 – Undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dikuatkuasakan, bagi menggantikan Undang-undang Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan. Undang-undang MARA telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Jun 1965, dan yang mengandungi resolusi-resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.

Antara lain tugas-tugas MARA ialah seperti yang tercatat dalam seksyen 6 undang-undang tersebut adalah:-

  • Memajukan, menggalakkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Persekutuan khususnya kawasan-kawasan luar bandar.
  • Menjalankan segala usaha khususnya pembangunan usaha-usaha perdagangan dan perusahaan serta pemasaran barang-barang keluaran.
  • Menjalankan penyelidikan dan latihan.
  • Memajukan usaha-usaha di atas dengan bantuan modal, memberi pinjaman dan lain-lain.

Dengan tugas-tugas dan kuasa-kuasa MARA seperti yang termaktub dalam undang-undang ini nyatalah bahawa MARA telah diberikan tugas penting untuk mengendalikan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan penduduk-penduduk bumiputera negara ini.

logo majlis amanah rakyat

Untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut MARA telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada 14 orang ahli dan seorang Pengerusi. Pengerusi majlis ini adalah juga Pengerusi MARA. Di samping itu sebuah Jawatankuasa Kerja telah dibentuk untuk menjaga hal-hal dasar.

Sesungguhnya penguatkuasaan undang-undang MARA pada hari ini dalam tahun 1966 merupakan era penting bagi kemajuan ekonomi bumiputera khususnya di kawasan luar bandar yang mana MARA telah memain peranan penting dalam bidang ekonomi, latihan kemahiran, serta pendidikan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Malaysia_Flag-800px
Sejarah

Undang-Undang Wajib Hormat Lagu Kebangsaan

01 Mac 1968 – Pada tahun 1968, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mewajibkan orang ramai bangun berdiri memberi hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan terutama di tempat awam. Rang Undang-undang ini juga melarang orang ramai mentertawakan lagu kebangsaan dan juga mempermainkan sesiapa sahaja yang menghormati lagu tersebut. Adalah satu kesalahan mengganggu dan mengejek orang yang memberi hormat kepada lagu yang menjadi lambang kebangsaan negara ini.

Ketika pembentangan rang undang-undang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Encik Khaw Kai Boh berkata, rang undang-undang ini dilaksanakan dalam usaha memupuk taat setia kepada negara di kalangan rakyat berbagai bangsa, keturunan, agama dan fahaman.

Demi menentukan rang undang-undang ini dipatuhi maka kuasa telah diberi kepada pegawai polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini. Mereka akan dikenakan denda sebanyak satu ratus ringgit atau satu bulan penjara.

jalur_gemilang

Rang undang-undang ini sesungguhnya adalah wajar dilaksanakan memandangkan perbuatan tidak menghormati lagu ini dianggap merendahkan kemuliaan lagu kebangsaan pada pandangan awam dan ini merupakan satu sikap tidak hormat yang patut dihapuskan.

Lirik Negaraku

Negaraku

Tanah tumpahnya darahku,

Rakyat hidup,

Bersatu dan maju,

Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

Selamat bertakhta,

Rahmat bahagia,

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

selamat bertakhta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia , Akta Lagu Kebangsaan 1968 (pdf).

Standard