Sejarah

Tamatnya Tempoh Membebaskan Hamba Di Perak

31 Disember 1883 – Pada hari ini dalam tahun 1883, tamatlah tempoh membebaskan hamba-hamba di negeri Perak. Mereka yang enggan mematuhi perintah itu akan didenda. Keputusan membebaskan hamba di negeri itu adalah dengan daya usaha Sir Hugh Low, Residen Inggeris di Perak.

Hugh Low dilantik menjadi Residen pada bulan April 1877. Sejak awal-awal lagi, beliau telah meminta pandangan Raja Yusuf, Raja Idris, Dato’ Temenggong, Sheikh Mat Taib dan ramai lagi pembesar-pembesar Perak mengenai perhambaan di negeri itu. Beliau telah mencadangkan enam perkara dan satu daripadanya menyebutkan bahawa di masa akan datang, apabila negeri Perak bertambah maju, kerajaan negeri akan menebus segala hutang yang ditanggung oleh hamba-hamba berpandukan syarat-syarat yang akan ditentukan oleh Majlis Mesyuarat Negeri yang akan dilantik kelak. Tanda-tanda keaiban dari sistem perhambaan di Perak akan dihapuskan.

freedom

Pelaksanaan Dan Tempoh Membebaskan Hamba

Dalam tahun 1878, Raja Yusuf telah bertindak atas arahan Sir Hugh Low supaya semua hamba-hamba didaftarkan. Dalam soal perhambaan ini Sir Hugh Low amatlah tegas. Raja Idris, Datuk Raja Mahkota dan Orang Kaya Temenggung telah tidak berjaya untuk mendapatkan lanjutan masa hingga kepada tahun 1884 sebelum hamba-hamba dihapuskan di Perak. Walau bagaimanapun beliau tetap mencadangkan supaya 31 Disember 1883, sebagai tarikh hamba-hamba ini dibebaskan.

Raja Idris dan lain-lain pembesar akhirnya bersetuju dengan beberapa resolusi antaranya adalah memberikan ganti rugi kepada tuan-tuan punya hamba mengikut kadar syarat-syarat pembebasan hamba dengan bayaran maksimum sebanyak $30.00 untuk hamba lelaki dan hamba berhutang serta $60.00 untuk hamba perempuan.

Dalam jangka masa antara Oktober 1882 hingga 31 Disember 1883 iaitu tarikh resolusi diluluskan oleh Majlis dan tarikh hamba-hamba dibebaskan, semua hamba-hamba tetap berkhidmat dengan tuan-tuan ataupun membayar daripada jumlah kadar syarat-syarat pembebasan hamba yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri mengikut kadar maksimum $15.00 untuk hamba lelaki dan $30.00 untuk hamba perempuan. Di dalam masa peralihan itu juga semua hamba-hamba akan didaftarkan dan dipindahkan daripada tuan punya hamba.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sir_Andrew_Clarke_standing
Sejarah

Surat Raja Abdullah Kepada Gabenor Inggeris

30 Disember 1873 – Pada tahun 1873, Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat Hal Ehwal Perak. Surat yang ditandatangani oleh baginda itu juga meminta Gabenor memulihkan keamanan negeri Perak dan membenarkan Perak berlindung di bawah naungan Inggeris. Ini kerana sebelum ini Inggeris tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk campur tangan di Negeri-Negeri Melayu.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sebenarnya surat Raja Abdullah itu dirangka oleh J.G.Davidson, seorang peguam dan Tan Kim Cheng, seorang saudagar yang menyokong perjuangan Raja Abdullah menuntut takhta kerajaan Perak. Berdasarkan surat yang dihantar oleh Raja Abdullah ini, Clarke mengambil keputusan untuk bertindak. Beliau mengarahkan W.A Pickering menjemput pembesar-pembesar Perak menemuinya di Pulau Pangkor. Namun begitu, mereka tidak diberitahu sebabnya.

sir andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Pada hari yang ditetapkan, pembesar-pembesar Perak dari Hilir Perak tiba di Pulau Pangkor. Raja Abdullah juga turut hadir, tetapi Raja Yusuf dan Sultan Ismail tidak hadir. Dengan itu, mereka tidak dapat mempertahankan kepentingan masing-masing.

Berikutan dengan perjumpaan yang diadakan ini, akhirnya Perjanjian Pangkor ditandatangani di mana Raja Abdullah diakui sebagai Sultan. Sesungguhnya, surat Raja Abdullah yang dihantar pada hari ini dalam tahun 1873, telah membawa kepada bermulanya campur tangan Inggeris secara langsung di Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

British Mengambil Alih Kuasa Pentadbiran Negeri Perak

12 Oktober 1875 – Pada tahun 1875, Sultan Abdullah Sultan Perak di dalam keadaan serba salah dan dengan desakan J.W.W. Birch terpaksa menandatangani surat persetujuan menyerah kuasa pentadbiran Negeri Perak kepada Inggeris. Dengan ini bermulalah pentadbiran Inggeris secara langsung keatas Negeri Perak.

Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari , 1874 tidak dapat menyelesaikan persengketaan politik malah telah merumitkan lagi keadaan politik Negeri Perak. Dalam beberapa perundingan yang menghasilkan Perjanjian Pangkor, hanya Raja Abdullah dan penyokong-penyokongnya sahaja yang hadir, sementara Sultan Ismail dan Raja Yusuf iaitu pembesar-pembesar yang harus terlibat tidak hadir di dalam perjumpaan tanpa dirancang itu. Ini menggambarkan bahawa Sir Andrew Clark hanya berminat untuk melantik Sultan yang sesuai dengan kehendak-kehendaknya.

sir andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Ini menimbulkan kemarahan kepada Sultan Ismail dan Raja Yusuf lalu menyatakan penentangan mereka terhadap perjanjian itu. Pembesar-pembesar Negeri Perak menyatakan mereka masih belum menyerahkan kuasa pentadbiran Perak kepada Inggeris. Ini dapat dibuktikan bahawa Sultan Abdullah bukan merupakan Sultan yang sah kerana Baginda tidak memiliki Regalia (Alat kebesaran) Negeri Perak.

Sementara Sultan Ismail, yang mendapat sara hidup seperti tercatit di dalam Perjanjian Pangkor menganggap Baginda berhak mewarisi takhta kerana memiliki (Alat Kebesaran). Baginda Sultan Ismail yang mendapat sokongan dari setengah-setengah pembesar Perak terus menjadi Sultan di Hulu Perak. Dengan keadaan begini terdapat dua Sultan yang memerintah di Negeri Perak di dalam suatu masa. Raja Yusuf yang diketepikan oleh perjanjian itu juga menyuarakan Baginda berhak mewarisi takhta.

Inggeris ketika itu yang baru mula melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran Negeri Perak merasa tidak senang dengan persengketaan itu yang akan menjejaskan dasar kolonialisme dan Imperialismenya. Bimbang dengan keadaan itu, William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat lalu mengadakan lawatan ke Negeri Perak pada bulan September 1875. Beliau telah menemui Sultan Ismail dan Raja Yusuf.

Dalam menghadapi masalah itu pihak Inggeris bermain politik kayu tiga. Ini dapat dibuktikan di dalam pertemuan antara William Jervois dengan Sultan Ismail dimana Sultan Ismail diberi pengakuan akan dilantik menjadi Sultan Perak kerana persetujuan baginda menerima pentadbiran Inggeris. manakala Raja Yusuf pula bersetuju Inggeris mengambil alih pentadbiran di Perak kiranya beliau tidak diganggu dan diberi pendapatan yang lumayan.

j.w.w. birch

J.W.W. Birch

Sementara itu J.W.W. Birch memainkan peranannya dengan menghubungi Sultan Abdullah. Beliau menyediakan draf surat untuk ditandatangani oleh Sultan Abdullah bagi penyerahan Negeri Perak kepada Pentadbiran British. Sultan Abdullah mula merasakan dirinya serba salah kerana baginda mengetahui tentang kedudukan Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan hasil dari hasutan J.W.W. Birch.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1875, Baginda dengan rasa serba salah terpaksa menandatangani surat persetujuan Inggeris campur tangan secara langsung keatas pentadbiran Negeri Perak. Surat tersebut diserahkan kepada William Jervois melalui J.W.W. Birch.

Sebaik-baik sahaja William Jervois menerima surat penyerahan kuasa tersebut, beliau mengarahkan supaya surat itu dicetak dan disebarkan kepada rakyat Negeri Perak. Perisytiharan ini menimbulkan kemarahan Datuk Seri Maharaja Lela.

Sultan Abdullah terpaksa berangkat ke Pasir Salak dan menerangkan kepada Datuk Seri Maharaja Lela mengenai perkara sebenarnya dimana baginda telah didesak oleh J.W.W. Birch. Datuk Seri Maharaja Lela mulai membenci J.W.W. Birch dan akhirnya membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
istana_iskandariah_perak-800px
Sejarah

Perlantikan Raja Yusuf Sebagai Pemangku Sultan Perak

27 Julai 1877 – Raja Yusuf telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Perak dengan memakai gelaran ‘Regent’ pada tahun 1877. Tujuan pelantikan ini dibuat ialah untuk mengisi kekosongan takhta Kerajaan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 02 November 1875.

Raja Yusuf tidak dilantik terus sebagai Sultan kerana beberapa sebab. Pertama, adalah kerana Baginda merupakan seorang raja yang lemah dan tidak disukai oleh pembesar-pembesar negeri. Oleh itu baginda terpaksa menjadi pemangku Sultan selama hampir 10 tahun.

Pelantikan Raja Yusuf yang lemah ini sebagai Pemangku Sultan telah memaksa pihak Inggeris mengatur langkah-langkah supaya baginda dapat diterima oleh semua lapisan rakyat sebagai Sultan.

raja yusuf

Raja Yusuf | Foto : Arkib Negara

Untuk itu Presiden Hugh Low telah melantik Raja Yusuf menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan pada 10 September 1877. Walau bagaimanapun kedudukan baginda dalam Majlis tersebut juga sering dicabar oleh Raja Idris yang juga berhak terhadap takhta Kerajaan Perak.

Pada tahun 1878, Raja Idris telah berkahwin dengan Raja Nuteh Aisah iaitu puteri Sultan Yusuf. Dengan perkahwinan ini, Sultan Yusuf yang telah uzur dan lanjut usia itu banyak menyerahkan urusan-urusan pentadbiran kepada Raja Idris.

Penyerahan tugas-tugas ini telah membolehkan Raja Idris meluaskan pengalaman dalam urusan pentadbiran negeri. Oleh yang demikian apabila Sultan Yusuf diisytiharkan dengan rasminya menjadi Sultan Perak pada 27 Oktober 1886, Majlis Mesyuarat Negeri juga telah bersetuju supaya Raja Idris ditabalkan menjadi Raja Muda Perak.

Pelantikan Raja Yusuf sebagai pemangku Sultan pada hari ini dalam tahun 1877, banyak dipengaruhi oleh pihak Inggeris. Mereka sengaja melantik Sultan yang lemah bagi memudahkan pihak Inggeris meluaskan campur tangan dalam soal-soal pentadbiran negeri Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pertabalan Raja Ismail Perak

27 Jun 1871 – Pertabalan Raja Ismail sebagai Sultan Perak yang ke 26 telah diadakan pada tahun 1871 bagi menggantikan Almarhum Paduka Seri Sultan Ali Al-Mukamal Riayat Shah. Pertabalan Raja Bendahara Ismail telah menambahkan lagi sengketa perebutan kuasa dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak.

Raja Bendahara Ismail bukanlah waris sebenar pemerintahan negeri Perak tetapi sebaliknya ialah Raja Muda Abdullah. Oleh kerana kegagalan baginda hadir di upacara pemakaman jenazah Sultan Ali, maka Raja Bendahara Ismail yang hadir di upacara itu telah ditabalkan menjadi Sultan. Peristiwa ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengikut-pengikut Raja Abdullah dan lain-lain pembesar negeri itu.

Perebutan kuasa antara pembesar-pembesar negeri Perak telah bermula sejak tahun 1865, selepas kemangkatan Sultan Jaafar; dimana akhirnya Sultan Ali telah memaklumkan kepada Gabenor Negeri Selat bahawa dirinya telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Perak dan jajahan takluknya, manakala Raja Abdullah dilantik menjadi Raja Muda dan Raja Ismail terus kekal sebagai Raja Bendahara. Kesan dari perebutan kuasa ini telah mewujudkan pemerengganan kawasan politik.

Keadaan ini telah berterusan selepas Raja Ismail menaiki takhta kerajaan. Raja Muda Abdullah berkuasa di Hilir Perak sehinggalah ke Kuala Perak. Sultan Ismail di Perak Tengah termasuk Kinta, Raja Yusuf berkuasa di Larut. Perpecahan ini akhirnya memerangkap negeri itu dalam perluasan dasar penjajahan British di Tanah Melayu ketika itu. Pertabalan Sultan Ismail pada tahun ini sesungguhnya merupakan satu titik tolak kepada berlakunya persengketaan yang hebat dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak yang akhirnya membuka peluang kepada Inggeris untuk campur tangan di negeri itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard