istana_iskandariah_perak-800px

Perlantikan Raja Yusuf Sebagai Pemangku Sultan Perak

27 Julai 1877 – Raja Yusuf telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Perak dengan memakai gelaran ‘Regent’ pada tahun 1877. Tujuan pelantikan ini dibuat ialah untuk mengisi kekosongan takhta Kerajaan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 02 November 1875.

Raja Yusuf tidak dilantik terus sebagai Sultan kerana beberapa sebab. Pertama, adalah kerana Baginda merupakan seorang raja yang lemah dan tidak disukai oleh pembesar-pembesar negeri. Oleh itu baginda terpaksa menjadi pemangku Sultan selama hampir 10 tahun.

Pelantikan Raja Yusuf yang lemah ini sebagai Pemangku Sultan telah memaksa pihak Inggeris mengatur langkah-langkah supaya baginda dapat diterima oleh semua lapisan rakyat sebagai Sultan.

raja yusuf
Raja Yusuf | Foto : Arkib Negara

Untuk itu Presiden Hugh Low telah melantik Raja Yusuf menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan pada 10 September 1877. Walau bagaimanapun kedudukan baginda dalam Majlis tersebut juga sering dicabar oleh Raja Idris yang juga berhak terhadap takhta Kerajaan Perak.

Pada tahun 1878, Raja Idris telah berkahwin dengan Raja Nuteh Aisah iaitu puteri Sultan Yusuf. Dengan perkahwinan ini, Sultan Yusuf yang telah uzur dan lanjut usia itu banyak menyerahkan urusan-urusan pentadbiran kepada Raja Idris.

Penyerahan tugas-tugas ini telah membolehkan Raja Idris meluaskan pengalaman dalam urusan pentadbiran negeri. Oleh yang demikian apabila Sultan Yusuf diisytiharkan dengan rasminya menjadi Sultan Perak pada 27 Oktober 1886, Majlis Mesyuarat Negeri juga telah bersetuju supaya Raja Idris ditabalkan menjadi Raja Muda Perak.

Pelantikan Raja Yusuf sebagai pemangku Sultan pada hari ini dalam tahun 1877, banyak dipengaruhi oleh pihak Inggeris. Mereka sengaja melantik Sultan yang lemah bagi memudahkan pihak Inggeris meluaskan campur tangan dalam soal-soal pentadbiran negeri Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.