Sidang Damai Malaysia-Indonesia-Filipina

05 Februari 1964 – Pada hari ini dalam tahun 1964, satu rundingan damai Menteri-menteri Luar tiga buah negara-Malaysia iaitu Indonesia dan Filipina bermula di Bangkok. Rundingan Menteri-menteri Luar yang dikelolakan oleh Menteri Luar Thailand, Tun Thanat Khoman itu adalah bertujuan untuk menjalin hubungan secara langsung di antara ketiga-tiga negara itu supaya dapat berdamai dan berbaik-baik semula.

Hubungan persaudaraan di antara ketiga-tiga negara jiran ini telah renggang disebabkan oleh tuntutan Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Macapagal ke atas Sabah dan salah faham Kerajaan Indonesia di bawah Presiden Sukarno mengenai konsep penubuhan Malaysia.

Rundingan ini dapat diadakan hasil dari usaha damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjamin keselamatan di rantau ini. Menteri-menteri Luar yang mewakili 3 negara itu ialah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dari Malaysia, Dr Subandrio dari Indonesia dan Encik Salvador Lopez dari Filipina.

Bagaimanapun usaha mulia pihak Thailand itu tidak menghasilkan sebarang kejayaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen