H. I. D. S. – Rombongan Inggeris Sampai Ke Pulau Pangkor

14 Januari 1874 – Campur tangan Inggeris di Perak bermula apabila termeterainya Perjanjian Pangkor di antara Pembesar-pembesar Perak dengan pihak Inggeris. Rombongan Inggeris yang mengadakan perundingan dengan Pembesar-pembesar Perak telah bertolak daripada Singapura dengan menaiki kapal Pluto melalui Selat Melaka dan sampai pada 14 Januari 1874.

Kedatangan rombongan Inggeris ini bertujuan untuk mengadakan rundingan dengan Pembesar-pembesar Perak bagi mengatasi peperangan saudara dan kekacauan di negeri Perak. Selain daripada itu jemputan oleh Raja Abdullah merupakan fakta kedatangan rombongan ini yang mana dalam surat tersebut beliau meminta Inggeris mengatasi masalah kekacauan di Perak dan mengiktiraf baginda sebagai Sultan.

Sebelum kedatangan rombongan yang diketuai oleh Sir Andrew Clark ini terlebih dahulu menghantar wakilnya W.H. Reid menemui Raja Abdullah untuk mengadakan perbincangan awal sebelum pertemuan di Pulau Pangkor. Antara Pembesar-pembesar Perak yang hadir dalam perundingan ini ialah Raja Abdullah, Raja Idris, Orang Kaya Menteri Larut Ngah Ibrahim, Dato’ Temenggong, Dato’ Sagor dan lain-lain.

Dengan kedatangan rombongan Inggeris ke Pulau Pangkor, satu perundingan telah diadakan di Pulau Pangkor yang kemudian termeterainya perjanjian di antara Raja Abdullah dan para Pembesar Perak dengan Inggeris yang kemudian dikenali dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 yang memanfaatkan persengketaan di antara Pembesar-pembesar Melayu serta Kongsi Gelap Cina.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen