H. I. D. S. – Perang Larut-Ngah Ibrahim Meminta Bantuan Inggeris

25 Februari 1872 – Pada hari ini dalam tahun 1872, Menteri Larut Ngah Ibrahim meminta bantuan Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang untuk membantu beliau dalam usahanya menyelesaikan pergaduhan di antara puak-puak pelombong Cina yang bermusuhan antara satu dengan lain di Larut.

Daerah Larut telah beberapa lamanya diperintah oleh seorang wakil baginda Sultan Perak. Dengan terjumpanya bijih timah dalam tahun 1848 maka berubahlah aliran sejarah negeri itu. Long Jaafar (bapa kepada Ngah Ibrahim), wakil Sultan di daerah itu telah menguruskan atas perbelanjaannya sendiri, usaha membuka lombong bijih di Kelian Pauh dengan mengupah 20 orang Cina puak Chen Seng Hakka (dari daerah Kwantung).

Perusahaan melombong di tempat itu bertambah maju sehingga ramailah pelombong-pelombong Cina bersama-sama kongsi gelap mereka dari Pulau Pinang datang untuk bekerja di situ. Terdapat beberapa buah kumpulan kongsi gelap yang bermusuhan di Larut yang bergabung dalam dua kumpulan yang besar iaitu kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Permusuhan itu telah menjadikan Larut sebagai “sebuah gelanggang besar di mana pembunuhan, kekerasan dan rompak samun berlaku terus-terusan”.

Pada tahun 1871, dianggarkan bahawa jumlah pelombong-pelombong Cina ialah 40,000 itu orang. Nilai bijih timah yang dihantar ke Pulau Pinang pada tahun itu ialah 1,276,518 ringgit dan kebanyakannya daripada Larut.

Pada 24 Februari, 1872, telah berlaku satu pergaduhan besar antara puak-puak Ghee Hin dan Hai San. Api pergaduhan ini telah bermula sejak awal bulan Februari lagi apabila seorang gadis puak Chen Seng (puak kumpulan Hai San) yang menyintai seorang pemuda puak San Neng (puak kumpulan Ghee Hin) dicederakan dengan teruk oleh orang-orang kumpulan Ghee Hin sebagai satu amaran kepada kumpulan Hai San.

Akibat kejadian itu rasa permusuhan di antara kedua-dua kumpulan itu begitu memuncak dan akhirnya Perang Larut ke 3 (24 Februari, 1872) telah berlaku yang hanya disebabkan oleh pergaduhan kecil mengenai perjudian. Dalam pergaduhan ini pihak Ghee Hin telah menang dan seramai 10,000 orang-orang Hai San terpaksa meninggalkan Larut dan lari ke Pulau Pinang. Ngah Ibrahim yang sentiasa berubah-ubah sokongannya terhadap kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengawal keadaan. Pergaduhan itu telah menjejaskan perusahaan lombong bijih timah di Larut.

Akhirnya, pada hari ini dalam tahun 1872 beliau terpaksa meminta bantuan daripada Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang untuk menghadapi keadaan itu. Kerana bimbang kekacauan itu akan merebak ke Pulau Pinang, Gabenor telah mengarahkan supaya diadakan sekatan senjata dan menghantarkan satu pasukan tentera laut untuk mengawal kemasukan senjata ke Larut.

Dalam tahun 1873 Kerajaan di Pulau Pinang telah membenarkan Ngah Ibrahim mengimport senjata dan membenarkan Capt. Speedy membantu beliau menubuhkan tenteranya sendiri (dari India) untuk menghadapi kekacauan di kawasannya (Larut).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen