English_ships_in_Table_Bay_1787

Dinding Dikembalikan Kepada Perak

16 Februari 1935 – Dinding dikembalikan kepada Perak setelah terpisah selama 109 tahun. Upacara penyerahan tersebut telah disaksikan oleh Sultan Iskandar Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Idris dan Residen Geoffrey Gator pada 16 Februari 1935.

Walaupun pada tahun 1926 Sultan Perak pernah membuat perjanjian dengan James Low tentang penyerahan Dinding kepada Inggeris, penglibatan Inggeris secara langsung bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874. Perjanjian ini ditandatangani untuk menyelesaikan masalah perebutan tahta Perak sebaik sahaja kemangkatan Sultan Jaafar dan peperangan antara puak Ghee Hin dan Hai San di Larut yang merebut kawasan perlombongan.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Raja Abdullah yang menuntut tahta kerajaan Perak telah meminta bantuan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut. Sebagai balasannya Raja Muda Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak dan perlu menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh Inggeris. Dalam Perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding ini, salah satu syaratnya adalah menyerahkan Daerah Dinding kepada Inggeris.

Semenjak itu ia ditadbir dari Pulau Pinang yang terletak seratus batu dari Daerah Dinding. Oleh kerana masalah pentadbiran dan politik, pentadbiran Pulau Pinang telah meminta Jabatan Tanah Jajahan supaya Kawasan Dinding dikembalikan kepada Kerajaan Perak. Inggeris juga menganggap kawasan itu tidak banyak menyumbang faedah kepada kedudukannya yang jauh daripada Pulau Pinang. Selain daripada itu Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah telah berusaha semenjak tahun 1917 untuk mengembalikan Dinding kepada Perak.

Daerah Manjung dulu dikenali sebagai Daerah Dinding.
Daerah Manjung dulu dikenali sebagai Daerah Dinding.

Dinding Dikembalikan Kepada Perak

Atas sebab-sebab tersebut, pada 6 Jun 1934 ‘The Dinding Agreement (Approval) Act, 1934’ telah diluluskan oleh Parlimen Inggeris. Satu upacara menandatangani perjanjian penyerahan semula telah diadakan pada 16 Februari 1935. Dengan itu Dinding dikembalikan kepada Perak setelah sekian lama berada dalam genggaman penjajah.

Setelah penyerahan Dinding, Kerajaan Perak telah menyatukannya dengan Bruas dan kawasan-kawasan persisiran pantai bahagian selatan. Pada tahun 1973, Daerah Dinding telah diberi nama baru iaitu Daerah Manjung dan nama berkenaan berkekalan sehingga kini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.