Penubuhan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Di Singapura

PBMUM29 Januari 1955 – Pada hari ini dalam tahun 1955, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah ditubuhkan dengan rasminya. Persatuan yang ditubuhkan di Singapura ini bercita-cita untuk :

Berusaha mengembangkan Bahasa Melayu dan menggalakkan penggunaannya
Memberi sumbangan yang konkrit untuk perkembangan serta kemajuan kesusasteraan dan kekayaan perpustakaan Melayu.
Mengenangkan kesenian dan kebudayaan Melayu
Mengambil tahu berhubung dengan pelajaran Bahasa Melayu serta berusaha untuk memberi sumbangan yang sewajarnya.

Penubuhan persatuan ini adalah hasil usahasama beberapa orang mahasiswa Melayu dan pensyarah yang berminat dalam kemajuan bahasa dan kebudayaan Melayu. Diantara tokoh-tokoh pada zaman awal itu termasuklah Lokman Musa sebagai Presiden yang pertama dan Noh Haji Abdullah sebagai Setiausaha Agungnya.

Dalam tahun 1959, setelah Universiti Malaya di Kuala Lumpur ditubuhkan pusat operasi PBMUM turut sama berpindah. Tetapi dari tahun 1959 sehingga 1964 aktiviti PBMUM masih berkisar kepada soal-soal bahasa dan budaya. Hanya dalam tahun 1965 saja kegiatan PBMUM lebih bercorak politik.

Mulai dari tahun tersebut PBMUM telah muncul sebagai badan yang kuat dalam gerakan pelajar-pelajar universiti, yang lebih mementingkan majlis-majlis diskusi, seminar dan forum-forum mengenai politik, ekonomi dan pelajaran. Diantara isu penting yang pernah diperbahaskan di majlis-majlis diskusi ialah masalah pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan penubuhan Universiti Kebangsaan yang telah diperjuangkan dengan gigih sekali dalam tahun 1968.

Sejak ia ditubuhkan suku abad yang lalu, PBMUM telah menunjukkan perkembangan yang membanggakan, dari sebuah persatuan kecil, PBMUM telah menjadi badan pelajar yang penting dan kuat di Universiti Malaya dan di negara ini. Buktinya pada bahasa dan kebudayaan Melayu telah tercatat dalam sejarah negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen