H. I. D. S. – Pelaksanaan “Sistem Salleh”

07 Jun 1968 – Pada hari ini dalam tahun 1968, Arahan “Sistem Salleh” telah mula dilaksanakan di semua Komponen dan Kontinjen Polis Di Raja Malaysia. Sistem Salleh ialah satu konsep yang dikemukakan oleh Tun Mohamed Salleh bin Ismael, Ketua Polis Negara dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan melibatkan orang ramai secara langsung. Sistem mencegah jenayah sebelum ini tidak begitu berkesan, dan peningkatan kadar kejadian jenayah dalam pertengahan tahun 1960-an.

Pada September 1967, Cawangan Penyelidikan dan Perancangan Polis Di Raja Malaysia telah merangka dan menyusun satu konsep baru yang dinamakan “Sistem Salleh”, iaitu mengambil nama Ketua Polis Negara pada masa itu Tun Mohamed Salleh bin Ismael. Operasi sistem Salleh melibatkan aktiviti rondaan dan mewujudkan ‘beat base’ atau pondok polis dikawasan seperti pasar, tempat tumpuan orang ramai, kawasan perumahan, kampung-kampung dan Bilik Maklumat diwujudkan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dijalankan.

Untuk menguji keberkesanan sistem ini, ia telah cuba dilaksanakan di daerah Petaling Jaya pada bulan Februari, 1968. Percubaan ini ternyata berkesan dan berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan Petaling Jaya. Sehubungan itu arahan dikeluarkan pada 7hb. Jun, 1968 menerusi Perintah Pasukan PDRM supaya sistem ini dilaksanakan di semua Kontinjen PDRM.

Sejak diperkenalkan, Sistem Salleh terbukti dapat mengekang, mengawal dan membasmi jenayah serta mewujudkan kerjasama dan sokongan orang ramai terutama dalam usaha membasmi jenayah dapat ditingkatkan dari masa kesemasa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen