H.I.D.S. – Kesatuan Melayu Pulau Pinang Menyatakan Tentangan Terhadap Malayan Union

24 Disember 1945 – Pada hari ini dalam tahun 1945, Kesatuan Melayu Pulau Pinang mengadakan mesyuarat bertujuan menyatakan pendirian menentang cadangan Kesatuan Malaya atau Malayan Union. Mesyuarat ini diadakan di Madrasah Mashhurul Islamiyah Pulau Pinang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Naib Yang DiPertua Kesatuan itu, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Haji Yunus. Beberapa ahli Jawatankuasa Kesatuan dan ahli-ahli Kesatuan menghadiri mesyuarat ini.

Dalam mesyuarat ini, Kesatuan Melayu Pulau Pinang dengan sebulat suara menolak cadangan British untuk mewujudkan Malayan Union kerana ianya memberi taraf kerakyatan yang sama rata kepada semua bangsa. Ini akan menghapuskan hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu. Walaubagaimanapun Kesatuan Melayu Pulau Pinang tidak membangkang jika ada cadangan mewujudkan Kesatuan Negeri-negeri Melayu (United Malay States) yang bermakna hak orang-orang Melayu.

Dengan pendirian Kesatuan Melayu Pulau Pinang yang diambil pada hari ini dalam tahun 1945, maka tentangan terhadap Rancangan Malayan Union telah bertambah dan Kesatuan Melayu Pulau Pinang sendiri mengikut jejak langkah Kesatuan-kesatuan Melayu di negeri-negeri lain menentang Malayan Union.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen