panglima_bukit_gantang_and_onn_jaafar

Penubuhan Perikatan Melayu Perak

27 Januari 1946 – Perikatan Melayu Perak ditubuhkan untuk menentang penubuhan Malayan Union. Perikatan Melayu Perak telah mengadakan persidangan pada 17 Januari 1946 yang dihadiri hampir 2,000 orang termasuk putera-putera raja, pembesar negeri dan kakitangan kerajaan.

 

panglima_bukit_gantang_and_onn_jaafar
Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bersama Dato’ Onn Jaafar.

 

Mesyuarat tersebut telah melantik Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz sebagai Yang DiPertua dan Dato’ Zainal Abidin bin Haji Abas sebagai Naib Yang DiPertua. Puan Sri Datin Hajjah Putih Mariah Ibrahim Rashid juga merupakan tokoh yang bergerak aktif dalam Perikatan tersebut.

 

Dato’ Zainal Abidin bin Haji Abas
Dato’ Zainal Abidin bin Haji Abas

 

putih_mariah
Puan Sri Datin Hajjah Putih Mariah Ibrahim Rashid

 

Dari pejabatnya yang terletak di 21 Jalan Hale, Ipoh, Perikatan Melayu Perak telah menerbitkan majalah Perikatan, manakala sayap pemuda Perikatan Pemuda Melayu Perak (PPMP) menerbitkan majalah Tenaga. Dengan sokongan yang padu dari berbagai pihak, dalam masa 4 bulan sahaja, cawangannya telah berkembang ke seluruh Perak dan ahlinya telah meningkat ke 30,000 orang.

 

Tujuan Dan Dasar Penubuhan

Antara lain tujuan dan dasar penubuhannya ialah untuk menghapuskan Malayan Union, mengekalkan kedudukan Sultan serta gelaran orang besar dan mengekalkan kedudukan istimewa orang Melayu. Perikatan Melayu Perak juga menuntut agar orang Melayu diberi peluang dalam bidang ekonomi dan kemudahan-kemudahan lain untuk mendapat pendidikan tinggi dan pendidikan teknik.

Mereka juga telah mengatur beberapa rancangan bagi menentang Malayan Union antaranya :-

  • Mengutuskan wakil menemui Sultan Perak dan menghantar wakil Perikatan Melayu Perak ke London.
  • Meminta cadangan-cadangan negeri lain serta mendesak negeri-negeri tersebut menghantar wakil mereka ke London.
  • Menghantar kawat bantahan Malayan Union terus kepada Setiausaha Tanah Jajahan dan surat khabar ‘London Times’ di England.

Penubuhan Perikatan Melayu Perak pada 27 Januari 1946 telah membuktikan bahawa penubuhan Malayan Union mendapat tentangan yang hebat dari semua golongan masyarakat Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.