voc_ship-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Di Antara Belanda Dengan Sultan Perak 1953

15 Disember 1653 – Pada tahun 1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Truijtman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Perak pernah dibuat sebelum ini oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda.

Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak.

Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak.

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653 juga tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rotterdam-800px
Sejarah

Perjanjian Antara Negeri Perak Dan Syarikat Hindia Timur Belanda

25 Julai 1746 – Pada tahun 1746, satu perjanjian antara Negeri Perak dan Syarikat Hindia Timur Belanda telah ditandatangani. Negeri Perak telah diwakili oleh Sultan Muzaffar Shah dan Belanda pula telah diwakili oleh Gabenor Melaka, H. M. Bernhard Albinus.

Perjanjian ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Negeri Perak dengan Syarikat Belanda bagi menghadapi ancaman orang-orang Bugis.

Dalam bulan Disember 1739, orang-orang Bugis telah menyerang Perak bagi kali pertamanya. Ketibaan Daeng Chelak di Perak dalam bulan Jun 1740 untuk menyiasat kematian sepupunya yang telah diracun, amat membimbangkan Sultan Perak.

Ketika berada di Perak, Daeng Chelak telah merampas empat buah perahu dan 200 bahara bijih timah. Peristiwa ini telah mendorongkan Sultan Muzaffar Shah untuk mendapatkan bantuan sebuah kuasa lain dalam menghadapi ancaman Bugis.

Ketibaan Syarikat Belanda di Perak memberi peluang kepada baginda untuk mengadakan hubungan persahabatan. Dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, satu perjanjian telah ditandatangani.

Antara syarat-syarat penting dalam perjanjian tersebut adalah :-

Sultan bersetuju untuk mengadakan hubungan yang berkekalan dengan pihak Belanda. Baginda yang bersetuju menyerahkan sebuah pulau bernama “Tanjung Putus”, kira-kira 48 kilometer dari Kuala Perak berserta dengan sebidang kawasan tanah ditebing sungai kepada Syarikat Hindia Timur Belanda untuk kemudahan dan keselamatan perdagangan.

Sultan bersetuju untuk membenarkan Syarikat Hindia Timur Belanda sahaja dalam mengutip semua hasil bijih timah dari negeri Perak. Belanda pula bersetuju untuk membeli semua bijih timah dengan harga 26 ’ducatoon’ bagi 375 bahara, serta membayar sebanyak dua rial bagi setiap bijih timah yang telah dieksport kepada Sultan Muzaffar Shah.

Semua kapal yang akan meninggalkan negeri Perak mesti berlabuh di kawasan Syarikat Hindia Timur Belanda untuk diperiksa bagi memgelakkan penyeludupan. Sekiranya di jumpai bijih timah yang cuba diseludupkan, maka ia hendaklah dibahagikan kepada kedua-dua pihak dengan sama rata.

Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1746, antara negeri Perak dengan Syarikat Hindia Timur Belanda merupakan titik-tolak dalam hubungan Perak dengan dunia luar.

Perjanjian ini juga merupakan perjanjian yang pertama ditandatangani oleh Perak dengan sebuah kuasa luar.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard