replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pertemuan Sultan Ismail – J.W.W. Birch Mengenai Alat Kebesaran Kerajaan Perak

25 April 1875 – Pada tahun 1875, J.W.W. Birch menemui Sultan Ismail di Belanja, Perak untuk mendapatkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak. Dalam pertemuan itu Sultan Ismail menyatakan kepada Birch bahawa Baginda akan menyerahkan alat-alat kebesaran itu kepada Raja Abdullah sendiri. Walau bagaimanapun Sultan Ismail tidak menyerahkan alat-alat kebesaran itu kepada Raja Abdullah ataupun Birch seperti yang dijanjikan.

Alat Kebesaran Kerajaan Perak itu adalah sangat perlu kepada British untuk menabalkan Raja Abdullah sebagai Sultan Perak yang sah. Raja Abdullah telah dilantik oleh British sebagai Sultan melalui Perjanjian Pangkor 1874. Perlantikan ini dibuat tanpa penyertaan alat-alat kebesaran negeri. Mengikut adat istiadat raja-raja Melayu perlantikan ini adalah tidak sempurna. Sebaliknya Sultan Ismail telahpun dilantik oleh pembesar-pembesar Perak dengan diiringi alat-alat kebesaran. Ini bermakna pada tahun 1874, terdapat dua orang Sultan di Perak.

perak regalia

Alat kebesaran Perak / Sumber – Arkib Negara

Bagi Raja Abdullah campur tangan British sangat diperlukan untuk membolehkannya menduduki takhta Kerajaan Perak kerana beliau sepatutnya menggantikan Sultan Ali yang mangkat pada tahun 1873. Oleh kerana Raja Abdullah tidak dapat hadir di hari pemakaman Sultan Ali, maka pembesar-pembesar Perak mengambil keputusan melantik Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan. Ini dilakukan kerana dalam adat istiadat dan sistem politik Melayu seseorang Sultan itu ditabalkan terlebih dahulu sebelum Sultan yang mangkat dimakamkan.

perak regalia

Alat kebesaran Perak / Sumber – Arkib Negara

Penabalan Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan Perak menyebabkan timbulnya persaingan dari Raja Abdullah untuk menduduki takhta Kerajaan Perak. Dengan campur tangan British kemudiannya, Raja Abdullah dilantik menjadi Sultan Perak dan Sultan Ismail diturunkan dari takhta dan diberi pencen seperti termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874 itu.

Tindakan British itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati Sultan Ismail dan pengikut-pengikut Baginda. Campur Tangan British di Perak tidak direstui sama sekali oleh Sultan Ismail dan pembesar-pembesar yang menyokong baginda. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1875 apabila Birch cuba mendapatkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak daripada Sultan Ismail Baginda telah tidak melayani kehendak Birch itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

British Mengambil Alih Kuasa Pentadbiran Negeri Perak

12 Oktober 1875 – Pada tahun 1875, Sultan Abdullah Sultan Perak di dalam keadaan serba salah dan dengan desakan J.W.W. Birch terpaksa menandatangani surat persetujuan menyerah kuasa pentadbiran Negeri Perak kepada Inggeris. Dengan ini bermulalah pentadbiran Inggeris secara langsung keatas Negeri Perak.

Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari , 1874 tidak dapat menyelesaikan persengketaan politik malah telah merumitkan lagi keadaan politik Negeri Perak. Dalam beberapa perundingan yang menghasilkan Perjanjian Pangkor, hanya Raja Abdullah dan penyokong-penyokongnya sahaja yang hadir, sementara Sultan Ismail dan Raja Yusuf iaitu pembesar-pembesar yang harus terlibat tidak hadir di dalam perjumpaan tanpa dirancang itu. Ini menggambarkan bahawa Sir Andrew Clark hanya berminat untuk melantik Sultan yang sesuai dengan kehendak-kehendaknya.

sir andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Ini menimbulkan kemarahan kepada Sultan Ismail dan Raja Yusuf lalu menyatakan penentangan mereka terhadap perjanjian itu. Pembesar-pembesar Negeri Perak menyatakan mereka masih belum menyerahkan kuasa pentadbiran Perak kepada Inggeris. Ini dapat dibuktikan bahawa Sultan Abdullah bukan merupakan Sultan yang sah kerana Baginda tidak memiliki Regalia (Alat kebesaran) Negeri Perak.

Sementara Sultan Ismail, yang mendapat sara hidup seperti tercatit di dalam Perjanjian Pangkor menganggap Baginda berhak mewarisi takhta kerana memiliki (Alat Kebesaran). Baginda Sultan Ismail yang mendapat sokongan dari setengah-setengah pembesar Perak terus menjadi Sultan di Hulu Perak. Dengan keadaan begini terdapat dua Sultan yang memerintah di Negeri Perak di dalam suatu masa. Raja Yusuf yang diketepikan oleh perjanjian itu juga menyuarakan Baginda berhak mewarisi takhta.

Inggeris ketika itu yang baru mula melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran Negeri Perak merasa tidak senang dengan persengketaan itu yang akan menjejaskan dasar kolonialisme dan Imperialismenya. Bimbang dengan keadaan itu, William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat lalu mengadakan lawatan ke Negeri Perak pada bulan September 1875. Beliau telah menemui Sultan Ismail dan Raja Yusuf.

Dalam menghadapi masalah itu pihak Inggeris bermain politik kayu tiga. Ini dapat dibuktikan di dalam pertemuan antara William Jervois dengan Sultan Ismail dimana Sultan Ismail diberi pengakuan akan dilantik menjadi Sultan Perak kerana persetujuan baginda menerima pentadbiran Inggeris. manakala Raja Yusuf pula bersetuju Inggeris mengambil alih pentadbiran di Perak kiranya beliau tidak diganggu dan diberi pendapatan yang lumayan.

j.w.w. birch

J.W.W. Birch

Sementara itu J.W.W. Birch memainkan peranannya dengan menghubungi Sultan Abdullah. Beliau menyediakan draf surat untuk ditandatangani oleh Sultan Abdullah bagi penyerahan Negeri Perak kepada Pentadbiran British. Sultan Abdullah mula merasakan dirinya serba salah kerana baginda mengetahui tentang kedudukan Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan hasil dari hasutan J.W.W. Birch.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1875, Baginda dengan rasa serba salah terpaksa menandatangani surat persetujuan Inggeris campur tangan secara langsung keatas pentadbiran Negeri Perak. Surat tersebut diserahkan kepada William Jervois melalui J.W.W. Birch.

Sebaik-baik sahaja William Jervois menerima surat penyerahan kuasa tersebut, beliau mengarahkan supaya surat itu dicetak dan disebarkan kepada rakyat Negeri Perak. Perisytiharan ini menimbulkan kemarahan Datuk Seri Maharaja Lela.

Sultan Abdullah terpaksa berangkat ke Pasir Salak dan menerangkan kepada Datuk Seri Maharaja Lela mengenai perkara sebenarnya dimana baginda telah didesak oleh J.W.W. Birch. Datuk Seri Maharaja Lela mulai membenci J.W.W. Birch dan akhirnya membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard