23 Januari 1933 – Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.
Sejak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.
Akta ini mengandungi perkara-perkara mengenai disiplin dan peraturan-peraturan Rejimen Melayu. Antaranya pada Bahagian Pertama Enakmen ini mengandungi 56 perkara disebut dengan panjang lebar mengenai soal disiplin seperti hal-hal jenayah, melarikan diri, tidak hadir tanpa mengambil cuti, mabuk semasa bertugas, membuat kenyataan palsu dan memalsukan dokumen-dokumen dan lain-lain.
Penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu
Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.
Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera
Formed on 1st March 1933 in Port Dickson, Negri Sembilan, this Experimental Company started with 25 recruits. It was designated ‘Experimental’ because at this stage, the “Company” was only an attempt to “.find out how the Malays would react to military discipline.”
(Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana “Trying it out with No. 1 Squad”, Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)
Pembesaran Pasukan Askar Melayu
Pada 1 Januari 1935, atas kesungguhan anak-anak Melayu di dalam Kompeni Percubaan Askar Melayu dan dengan kegigihan Mejar S. Bruce, 1 Kompeni Percubaan Askar Melayu ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang anggota. Pengambilan anggota-anggota baru dipercepatkan dengan penambahan 232 orang anggota baru, dua Kompeni tempur telah ditubuhkan, dengan satu pasukan Ibu Pejabat sebagai elemen perintah yang dilengkapkan dengan platun mesingan Vickers, satu seksyen Semboyan dan satu unit tambur.
Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar melayu (1 Melayu) mempunyai kekuatan 17 pegawai british dan 6 Pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 Pegawai Tak Bertauliah dan anggota Lain-Lain Pangkat.
Apabila bahang perang semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihan jalan lasak di peringkat batalion dan peringkat briged kerap kali diadakan. 1 Melayu juga mula membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kereta kebal. Dalam bulan Ogos 1941, satu platun bantuan ditubuhkan menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier’ di bawah pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Batalion ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) Tentera British.
Pada bulan Mac 1941, Gabenor Negeri-Negeri Selat memberikan kuasa untuk menambah kekuatan Rejimen Askar Melayu menjadi dua battalion. Batalion Ke-2 Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Disember 1941. 1 Melayu dan 2 Melayu bersama-sama batalion Ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) diletakkan di bawah pemerintahan 1st Malaya Infantry Brigade. Briged ini akan memainkan peranan besar dalam mempertahankan Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun.
Sumber : Arkib Negara Malaysia , Wikipedia