tudm_Cope_Taufan_2014-800px
Sejarah

Perasmian Empat Buah Pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia

13 Oktober 1967 – Selepas mencapai kemerdekaan, 31 Ogos 1957, Kerajaan Malaya menumpukan perhatian dalam dua aspek yang penting iaitu pembangunan dan keselamatan negara. Bagi keselamatan negara pasukan angkatan tentera telah ditubuhkan.

Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera, tentera udara merupakan yang paling lewat ditubuhkan, setelah ditubuhkan pasukan ini telah membeli pelbagai peralatan terutamanya pesawat bagi memenuhi keperluan pasukan ini. Pada 1967, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan nama empat buah pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu:

  • Sebuah pesawat jenis Cessna bernama Tirok
  • Tiga buah pesawat jenis De Havilland yang diberi nama Merbok, Punai dan Terkukur.

cessna 310f tirok

havilland

Upacara ini telah diadakan di pangkalan Angkatan Tentera Udara di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak Hussein, Panglima Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya Group, Kapten J.N. Stancey. Pasukan Tentera Udara ini yang diwujudkan, menjadi sangat penting dalam keadaan negara baru mencapai merdeka serta ancaman komunis yang masih lagi ada, pesawat yang ada akan dapat membantu pihak tentera mempercepatkan operasi menghapus kegiatan komunis di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka_stadium
Sejarah

Kerja-Kerja Pembinaan Stadium Merdeka Dimulakan

25 September 1956 – Kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan pada tahun 1956. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi.

Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka

Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957.

Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.

Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

SPB Yang Di-Pertuan Agong Merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

19 September 1985 – DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak pada tahun 1985. Bangunan setinggi 38 tingkat ini berharga RM109.4 juta sebagai menggantikan bangunan lama LUTH di Jalan Ipoh yang kini menjadi Bangunan Cawangan LUTH Wilayah Persekutuan.

tabung haji

Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji adalah satu-satunya bangunan tinggi yang unik di bandar raya Kuala Lumpur kerana reka bentuknya yang melambangkan pendekatan revolusioner dan mengandungi falsafah yang berkaitan dengan kelima-lima rukun Islam. Ibu Pejabat Tabung Haji ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti dewan serbaguna, kafeteria, pusat riadah, ruang pejabat dan ruang letak kereta bertingkat.

Selain menggunakan sendiri, pihak Tabung Haji juga menyewakan ruang pejabat di bangunan ini kepada pihak-pihak swasta sebanyak 75% ruang pejabat disewakan dengan mendapat hasil RM8.9 juta. Dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji pada hari ini dalam tahun 1985 telah membuktikan kejayaan pengurusan pihak LUTH bagi meninggikan syiar dan meningkatkan penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kereta_api-800px
Sejarah

Perasmian Landasan Kereta Api Pantai Timur

05 September 1931 – Pada tahun 1931, landasan kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke IV bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Cecil Clementi.

Perasmian ini adalah bersempena dengan pembukaan landasan kereta api dari Gua Musang ke Kuala Gris di Kelantan. Pembinaan landasan kereta api pantai Timur itu dijalankan secara berperingkat dari dua hala, iaitu dari Selatan ke Utara dan sebaliknya.

Dari Selatan ke Utara pembinaannya bermula dari Gemas hingga ke kawasan sempadan Negeri Sembilan dan negeri Pahang yang disiapkan pada tahun 1910. Dalam tahun 1912 landasan ini siap dibina hingga ke Kuala Krau di Pahang.

Dalam tahun 1917 pula landasan diteruskan hingga ke Kuala Lipis. Dari Kuala Lipis pembinaannya diteruskan ke Padang Tengku dan siap dalam tahun 1921. Pembinaannya diteruskan hingga ke Chegar Perah di Pahang dalam tahun 1923 dan disambung hingga ke Merapoh dan sempadan Pahang-Kelantan dalam tahun 1927. Pada bulan Julai 1930 ia telah siap dibina hingga ke Gua Musang di Kelantan.

Kos pembinaan landasan kereta api Pantai Timur ini dianggarkan sebanyak hampir RM 39 juta. Dengan siapnya landasan kereta api itu ia bukan sahaja dapat menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan Singapura melalui Johor Bahru tetapi juga dengan negeri Siam melalui jalan kereta api dari Pasir Mas ke pekan Golok yang dibuka pada tahun 1921.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
umno_logo-800px
Sejarah

Persidangan Perikatan Pemuda Umno Se Malaya

30 Julai 1950 – Pada tahun 1950, Raja Muda Selangor DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah telah merasmikan Persidangan Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya. Persidangan ini telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Dalam titah ucapan perasmian baginda, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah telah menzahirkan rasa sukacita baginda dapat bertemu dengan sekelian ahli Perikatan Pemuda UMNO. Baginda bertitah Perikatan Pemuda UMNO adalah satu bahagian dalam UMNO yang sangat mustahak dan baginda menyeru agar para pemuda akan bersatu-padu dan taat setia kepada Pertubuhan UMNO.

Perikatan Pemuda UMNO dalam persidangannya antara lain telah bersetuju mengadakan pakaian seragam jenis Kebangsaan dan jenis pakaian Barat bagi ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya setelah diperbincangkan dengan panjang lebarnya.

Ketetapan mengadakan pakaian seragam ini telah dicadangkan di Persidangan Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda UMNO yang telah diadakan di Butterworth Seberang Perai pada 26 Ogos 1949.

Rangka cadangan yang telah dibuat oleh jawatankuasa kecil yang menaja rancangan untuk mengadakan pakaian seragam ini telah dibentangkan dengan tiga syarat iaitu :-

  • pakaian seragam itu hendaklah dari bahan yang tidak mahal
  • bahan-bahan itu senang didapati dan
  • reka bentuk pakaian seragam ini senang dibuat.

Ketika keputusan muktamad diambil Persidangan Perikatan Pemuda UMNO telah meminda beberapa perkara dan keputusannya adalah seperti berikut :-

Pakaian cara Barat :-

1) Bagi kemeja, kain warna putih, lengan pendek dengan dua kocek di kiri dan kanan dengan butang dibahu

2) Seluar panjang kain kaki berwarna putih

3) Songkok Melayu warna hitam

4) Lencana UMNO disemat di sebelah atas luar kocek kiri baju kemeja

5) Sepatu getah jenis canverse bertumit rendah warna putih

6) Kain merah tulisan pemuda UMNO

7) Tali pinggang warna putih

Pakaian seragam jenis kebangsaan pula ialah :-

1) kain putih dengan reka bentuk potongan mengikut negeri masing-masing, baju berkocek tiga, dua di bawah kanan dan kiri dan saku di atas sebelah kiri

2) kain sarung tiga warna dipakai di luar baju

3) Lencana UMNO disemat dibaju luar kocek atas

4) Songkok Melayu warna hitam

5) Sepatu kulit warna kuning

Ketetapan pakaian seragam bagi Pemuda UMNO ini telah diterima dengan sebulat suara di Persidangan Perikatan Pemuda UMNO yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1950.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Surau Polis Pertama Di Malaya

10 Julai 1953 – Pada tahun 1953, Surau Polis Pertama di Malaya telah dibuka dengan rasminya oleh Datin Hamidah iaitu isteri kepada Datuk Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu. Surau polis yang pertama itu terbina hasil daripada desakan isteri-isteri polis, khasnya usaha Polis Persekutuan Tanah Melayu di Terengganu.

Pembinaan surau itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada segala urusan agama, terutama bagi kepentingan ahli-ahli polis Kuala Terengganu.

Berucap di Majlis Perasmian itu, Timbalan Ketua Pegawai Polis Terengganu, En. Talib bin Lisut, menegaskan tentang peri pentingnya mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.  Oleh yang demikian diharap bangunan surau itu nanti dapat digunakan dengan sebaik mungkin khasnya dalam menjalankan aktiviti agama dan kebajikan.

Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Kerajaan Terengganu, guru-guru agama perempuan Madrasah Al Sultan Zainal Abidin, Setiausaha Pejabat Agama dan Pemeriksa Hal Ehwal Agama serta pegawai-pegawai polis.

Perasmian surau polis pertama pada hari ini dalam tahun 1953, merupakan satu catatan sejarah kepada ahli-ahli polis di Malaya, khasnya di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard