9 Mac 1961 – Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis tilawah al-Qur’an peringkat antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama.
Pertandingan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Pertama yang dianjurkan oleh Malaya ini merupakan majlis tilawah yang julung-julung kalinya dianjurkan di dunia. Belum ada Negara yang menganjurkan majlis seumpama ini sebelumnya. Dalam majlis kali pertama ini, sebanyak tujuh buah Negara iaitu Singapura, Brunei, Thailand, Sarawak, Indonesia, Filipina dan Malaya dengan 13 orang peserta telah mengambil bahagian.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullai berkenan merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali Pertama pada 9 Mac 1961.
Johan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama ini dimenangi oleh peserta dari Malaya, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mat Som, naib johan disandang oleh Encik Ismail juga peserta Malaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Indonesia. Pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah.
Kelas Hafaz Al-Quran
Pada 1 Mac 1966 hasrat dan kenyataan YAB Tun Abdul Razak untuk mengadakan kursus mempelajari dan menghafaz al-Qur’an telah menjadi kenyataan dengan pembukaan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara. Kelas ini di bawah bimbingan Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohammad Haji Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Selepas itu kelas tahfiz al-Quran ini telah berkembang dan dikenali dengan nama Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri.
Institut ini berpindah beberapa kali ke kampus sementara, antaranya di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana; di Jalan Ledang; di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Hulu Langat, Selangor. Kini institut ini berada di kampus tetapnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu dengan nama Darul Quran di bawah pentadbiran Jabatan Islam Malaysia (JAKIM) yang mula beroperasi pada Januari 1997.
Sumber : Majlis Tilawah Al-Quran Malaysia