Malayan_Emergency-800px
Sejarah

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengarah Tindakan Melawan Komunis

16 Ogos 1957 – Satu mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengarah Tindakan Melawan Komunis yang baru disusun semula berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1957.

Jawatankuasa itu mengandungi empat orang Menteri Perikatan iaitu Tunku Abdul Rahman Kolonel H.S. Lee, Encik V.T. Sambanthan dan Dato’ Abdul Razak Hussein.

Menteri-menteri Perikatan telah menghadiri mesyuarat pertama tersebut bersama-sama dengan Bahagian Tindakan Melawan Pengganas Komunis yang diketuai oleh pengarahnya Jeneral Sir Geoffrey Bonn.

merdeka offer

Perkara utama yang dibincang dalam mesyuarat pertama itu ialah tentang cadangan Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman untuk menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada pengganas komunis yang masih berada di dalam hutan.

Turut dibincangkan ialah mengenai perkembangan usaha-usaha membanteras komunis oleh pasukan keselamatan.

Dengan berlangsungnya mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengarah Tindakan Melawan Komunis pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi titik permulaan dalam taktik secara psikologi kerajaan untuk membawa komunis balik ke pangkal jalan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
royal_malaysia_air_force-800px
Sejarah

Pengisytiharan Tamat Darurat

31 Julai 1960 – Pada tahun 1960, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah mengisytiharkan tamat darurat di Tanah Melayu. Perintah darurat dikuatkuasakan sejak tahun 1948 dalam usaha kerajaan membendung kegiatan pengganas komunis.

Sepanjang tempoh itu, kebebasan rakyat dicengkam oleh rasa bimbang, takut menjadi mangsa ugutan dan kekejaman pengganas. Malah ada yang terpaksa lari meninggalkan kampung halaman dan harta benda, berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Pergerakan juga menjadi terbatas kerana terpaksa mematuhi langkah-langkah keselamatan yang diatur oleh pihak berkuasa.

Kerajaan telah membelanjakan kira-kira $1,300 juta dalam tempoh itu, manakala korban jiwa pula lebih 4 ribu nyawa.

Perisytiharan tamat darurat pada hari ini dalam tahun 1960, dianggap sebagai Hari Kemenangan. Perayaan besar-besaran diadakan di seluruh negara dan upacara kemuncak berlangsung di ibu negara.

Angkatan tentera telah mengadakan perbarisan terbesar yang melibatkan 6 ribu pegawai dan askar biasa, dari semua pasukan, 400 buah kenderaan, kapalterbang dan pasukan pancaragam.

Bagi seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu, saat itu sewajarnya diraikan bersama kerana negara kini menempuh satu era baru.

Sebagai mana titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, zaman gelap gelita selama 12 tahun kini telah berakhir dan diganti dengan zaman baru, zaman bahagia yang belum dinikmati oleh rakyat negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
THE_MALAYAN_EMERGENCY_1948-1960_K14005-800px
Sejarah

Sir Alec Newboult Mengumumkan Peluasan Undang-Undang Darurat Ke Seluruh Negara

12 Julai 1948 – Pada tahun 1948, Sir Alec Newboult telah mengumumkan perluasan Undang-Undang Darurat ke seluruh negara. Ianya bertujuan untuk memberi kuasa yang lebih kepada pihak polis dan tentera untuk mengangkap dan menahan orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.

Darurat diisytiharkan apabila pemberontakan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak komunis semakin menjadi-jadi.

Alec T Newboult

Mereka telah melancarkan keganasan dan beberapa pemogokan di seluruh negara bagi melumpuhkan ekonomi negara. Oleh itu, beberapa langkah telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengawal kegiatan pihak komunis.

Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah pembesaran Pasukan Askar Melayu, Penubuhan Jawatankuasa Kerja Perang, Penubuhan Kampung-kampung Baru di bawah Rancangan Briggs dan perkhidmatan tentera yang diwajibkan.

Perluasan Undang-Undang Darurat pada hari ini dalam tahun 1948, mampu menyekat kegiatan-kegiatan subversif pengganasan komunis daripada terus menguasai Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan Diluluskan

03 Julai 1952 – Pada tahun 1952, satu Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Rang Undang-undang Rejimen Persekutuan ini bertujuan untuk memperbesarkan angkatan tentera bagi memenuhi keperluan keselamatan negara yang pada ketika itu sedang menghadapi darurat serta menjamin kedaulatan negara apabila merdeka kelak.

Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi, merangkap Pengarah Gerakan Persekutuan telah mencadangkan agar sebuah pasukan pertahanan berbilang kaum ditubuhkan. Pada ketika itu, hanya terdapat sebuah pasukan sahaja iaitu Rejimen Askar Melayu yang keanggotaannya terdiri daripada anak watan berkhidmat berjuang menentang ancaman komunis.

Berikutan daripada itu, pada September 1952 dua buah pasukan yang terdiri daripada anggota berbilang bangsa telah ditubuhkan, iaitu Batalion Pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan. Pada Januari 1960, kedua-dua rejimen telah dicantumkan dengan membawa gelaran sebagai Askar Peninjau.

Sesungguhnya, anggota keselamatan telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang ancaman komunis demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Darurat Diistiharkan Pada Tahun 1948

18 Jun 1948 – Terlakar sejarah hitam dalam lipatan sejarah negara kita apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 di Perak dan Johor. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada keganasan dan pemogokan yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Pemberontakan yang dilakukan oleh (PKM) itu didorong oleh kejayaan Parti Komunis Cina yang ketika itu dalam proses mencapai kemenangan di China.

Rancangan PKM ialah untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu dan memerintah negara ini. Gerakan keganasan yang dilancarkan oleh PKM menimbulkan rasa kebimbingan di kalangan rakyat dan mengancam ekonomi negara.

Berikutan daripada itu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat ke seluruh negara. Pengisytiharan ini dibuat bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan gerakan membenteras PKM .

Antara langkah yang telah diambil untuk membendung dan menghapuskan kegiatan PKM ialah dengan memperbesarkan Pasukan Askar Melayu, menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perang dan Rancangan Briggs.

Hasil usaha berterusan kerajaan untuk menghapuskan PKM membuahkan hasil apabila PKM meletakkan senjata melalui perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard