Sir_Frederick_Weld
Sejarah

Perjanjian Inggeris Dengan Pahang 1887

8 Oktober 1887 – Perjanjian Inggeris dengan Pahang telah ditandatangani oleh Sultan Pahang, Bendahara Wan Ahmad dan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Frederick Aloysius Weld pada tahun 1887.

Pahang menarik perhatian Inggeris kerana faktor ekonominya. Pihak Inggeris juga bimbang dengan kedatangan kuasa Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman ke negeri itu. Sikap murah hati Bendahara Wan Ahmad dalam memberi pajakan juga tidak menyenangkan Inggeris. Inggeris menganggap negeri Pahang telah tersalah tadbir dan perlu dinaungi.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Ke arah ini beberapa orang pegawai Inggeris telah dihantar ke Pahang untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad supaya bersetuju menandatangani satu perjanjian dengan Inggeris. Antara pegawai-pegawai yang dihantar ialah Frank Swettenham ‘kawan lama’ Bendahara Wan Ahmad. Frederick Weld sendiri telah melawat Pahang pada tahun 1886 diikuti dengan Hugh Clifford. Bagaimanapun semua percubaan untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad ini telah gagal.

Inggeris juga telah menyebelahi Wan Mansor, adik Bendahara Wan Ahmad yang menuntut hak sebagai pengganti Bendahara. Pengaruh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar yang menghantar Dato’ Menteri Johor Saiyid Mohammad Alsagof ke Pahang dikatakan telah mengubah fikiran Bendahara Wan Ahmad. Ini terbukti dengan surat yang dikirimkan oleh Bendahara kepada Gabenor Frederick Weld pada 10 April 1887, meminta supaya diadakan satu perjanjian antara kedua-dua pihak seperti ‘Perjanjian Johor’.

Sir Frederick Weld

Sir Frederick Weld

Bendahara Wan Ahmad memberikan beberapa syarat untuk perjanjian yang bakal ditandatangani itu. Syarat-syarat tersebut antara lain ialah hak untuk melantik dan memecat wakil Inggeris; wakil Inggeris tidak dibenarkan mencampuri urusan penduduk tempatan dan Inggeris hendaklah mengakui bahawa puteranya Tengku Mahmud sebagai pengganti beliau dan bukan adindanya Wan Mansor. Gabenor Weld telah menolak semua cadangan itu, malah Frederick Weld telah mengemukakan cadangan balas iaitu untuk meluaskan kuasa wakil Inggeris di Pahang.

Akhirnya, pada hari ini dalam tahun 1887, Perjanjian Inggeris dengan Pahang telah ditandatangani. Perjanjian ini antara lain mengiktiraf Bendahara sebagai Sultan dan Pahang menerima Hugh Clifford sebagai wakil Inggeris di negeri itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sungai_endau-800px
Sejarah

Perjanjian Mengenai Sempadan Pahang-Johor

01 September 1868 – Pada tahun 1868, satu perjanjian mengenai sempadan Pahang-Johor telah ditandatangani oleh Bendahara Wan Ahmad yang menjadi Raja Pahang dan Sultan Abu Bakar, Sultan Johor dan disaksikan oleh Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Pertikaian sempadan antara Pahang dan Johor berlarutan beberapa lama antara Bendahara Wan Ahmad dengan Sultan Abu Bakar, Johor.

Wan Ahmad juga berjaya menaiki tahta kerajaan Pahang setelah berjaya mengalahkan saudaranya Wan Mutahir telah mendakwa beberapa buah pulau di Laut China Selatan kepunyaan Pahang. Ini kerana pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan lain-lain itu diserahkan oleh Wan Mutahir kepada Johor semasa pemerintahannya dan Bendahara Wan Ahmad yang menggantikan Wan Mutahir tidak mengiktirafnya. Wan Ahmad tetap menuntut pulau-pulau itu hak Pahang.

sungai endau

Sungai Endau / Sempadan Pahang – Johor

Pertikaian ini hampir mencetuskan peperangan tetapi Inggeris di Singapura telah campurtangan sebagai orang tengah. Bagaimanapun usaha Gabenor Cavanagh tidak berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja perundingan.

Pada bulan Oktober 1863 Bendahara Wan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura menjemputnya datang ke Pahang untuk menyaksikan sendiri keadaan di Pahang. Hasil dari laporan Gabenor Inggeris di Singapura tentang persetujuan Orang Besar Empat Pahang mengakui Wan Ahmad sebagai Raja, Kerajaan Inggeris kemudiannya mengiktiraf Pahang. Pengiktirafan ini meredakan sedikit pertikaian Johor-Pahang tetapi masih lagi tidak mencapai keputusan muktamad. Walaupun mengiktiraf kerajaan Pahang tetapi Gabenor Inggeris di Singapura juga tidak mengakui tuntutan Pahang ke atas pulau-pulau tersebut.

Dalam tahun 1867 Johor bersetuju mengadakan perundingan. Dalam tahun 1868 Sir Harry Ord yang menjadi Gabenor baru Negeri-Negeri Selat berjaya memujuk Pahang mengadakan perundingan. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1868, satu perjanjian ditandatangani antara Johor dan Pahang yang telah menyelesaikan masalah sempadan di mana Sungai Endau menjadi sempadan darat dan bahagian tengah Kuala Sungai Endau menjadi sempadan laut kedua-dua negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_ahmad_and_frederic_duberly_1902-800px
Sejarah

Bendahara Wan Ahmad Memakai Gelaran Sultan (Pahang)

06 Ogos 1882 – Bendahara Negeri Pahang, Bendahara Wan Ahmad memakai gelaran Sultan pada tahun 1882. Istiadat pemakaian gelaran Diraja ini telah diadakan secara rasmi pada 12 Disember 1884 di Pekan, Pahang.

Baginda kemudian bergelar Sultan Ahmad AI-Muadzam Shah. Dalam istiadat tersebut juga, isteri baginda, Tuan Besar Wan Fatimah yang bergelar Cik Puan Bongsu diberi gelaran DYMM Tengku Ampuan Pahang. Manakala putera-puteri baginda yang bergelar Wan dan Tun diganti dengan panggilan Tengku.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Dengan penabalan gelaran Sultan, Bendahara Wan Ahmad merupakan keturunan Bendahara yang mula-mula sekali memakai gelaran DYMM Sultan Pahang.

Pihak Inggeris hanya mengiktiraf pemakaian gelaran ini oleh Bendahara Wan Ahmad pada tahun 1887. Sultan Ahmad memerintah Pahang dari tahun 1863.

Sebelum dari ini telah berlaku satu perang saudara di antara baginda dan kekandanya Wan Mutahir akibat perebutan kuasa. Peperangan ini telah berlarutan sehingga 6 tahun, di mana Wan Mutahir tewas dan melarikan diri ke Tanjung Teja bersama anaknya Wan Koris.

Dalam pelarian tersebut, Wan Koris telah mangkat di Kuala Pahang dan Wan Mutahir mangkat di Kuala Sedeli.

Baginda telah memerintah negeri Pahang selama 51 tahun iaitu dari tahun 1863 hingga 1882 sebagai Bendahara dan dari tahun 1882 hingga 1914 sebagai Sultan Pahang.

Baginda mangkat pada 9 Mei 1914 dan digantikan oleh Puteranya Tengku Mahmud sebagai Sultan Pahang Kedua.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard