25 April 1875 – Pada tahun 1875, J.W.W. Birch menemui Sultan Ismail di Belanja, Perak untuk mendapatkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak. Dalam pertemuan itu Sultan Ismail menyatakan kepada Birch bahawa Baginda akan menyerahkan alat-alat kebesaran itu kepada Raja Abdullah sendiri. Walau bagaimanapun Sultan Ismail tidak menyerahkan alat-alat kebesaran itu kepada Raja Abdullah ataupun Birch seperti yang dijanjikan.
Alat Kebesaran Kerajaan Perak itu adalah sangat perlu kepada British untuk menabalkan Raja Abdullah sebagai Sultan Perak yang sah. Raja Abdullah telah dilantik oleh British sebagai Sultan melalui Perjanjian Pangkor 1874. Perlantikan ini dibuat tanpa penyertaan alat-alat kebesaran negeri. Mengikut adat istiadat raja-raja Melayu perlantikan ini adalah tidak sempurna. Sebaliknya Sultan Ismail telahpun dilantik oleh pembesar-pembesar Perak dengan diiringi alat-alat kebesaran. Ini bermakna pada tahun 1874, terdapat dua orang Sultan di Perak.
Bagi Raja Abdullah campur tangan British sangat diperlukan untuk membolehkannya menduduki takhta Kerajaan Perak kerana beliau sepatutnya menggantikan Sultan Ali yang mangkat pada tahun 1873. Oleh kerana Raja Abdullah tidak dapat hadir di hari pemakaman Sultan Ali, maka pembesar-pembesar Perak mengambil keputusan melantik Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan. Ini dilakukan kerana dalam adat istiadat dan sistem politik Melayu seseorang Sultan itu ditabalkan terlebih dahulu sebelum Sultan yang mangkat dimakamkan.
Penabalan Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan Perak menyebabkan timbulnya persaingan dari Raja Abdullah untuk menduduki takhta Kerajaan Perak. Dengan campur tangan British kemudiannya, Raja Abdullah dilantik menjadi Sultan Perak dan Sultan Ismail diturunkan dari takhta dan diberi pencen seperti termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874 itu.
Tindakan British itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati Sultan Ismail dan pengikut-pengikut Baginda. Campur Tangan British di Perak tidak direstui sama sekali oleh Sultan Ismail dan pembesar-pembesar yang menyokong baginda. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1875 apabila Birch cuba mendapatkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak daripada Sultan Ismail Baginda telah tidak melayani kehendak Birch itu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia