20 April 1772 – Pada tahun 1772, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Perjanjian itu adalah lanjutan daripada keinginan baginda Sultan Kedah untuk mendapatkan bantuan pertahanan bagi mengatasi huru-hara dalam negeri, membuat persediaan untuk bergabung dengan orang-orang Bugis dari tujuan berkuasa di Selangor dan keinginan untuk membebaskan diri dari kongkongan Siam.
Dalam tahun 1770, Sultan Muhammad telah menabalkan Raja Abdullah, putera baginda sebagai Pemangku Sultan. Pelantikan tersebut mengecewakan kerabat diraja lalu mereka mengupah orang-orang Bugis yang kebetulan berdendam kepada Sultan untuk memberontak. Pada awal bulan Mac 1771, orang-orang Bugis dan pemberontak-pemberontak tempatan telah menguasai Kuala Kedah seterusnya Alor Setar. Untuk itu Sultan cuba mendapatkan bantuan Gabenor Madras melalui surat bertarikh 18 Mac 1771 tetapi tidak dihiraukan.
Pada 24 Mac 1771, Francis Light, seorang saudagar Inggeris telah mengadap Sultan dengan membawa senjata dan 30 orang askar sepoi bersama 2 buah kapal perang. Dengan sangkaan bahawa Inggeris akan membantu baginda dalam usaha meluaskan kekuasaan baginda, Sultan bersetuju membenarkan Light berdagang dengan syarat 2/3 keuntungan dibahagi sama rata. Malangnya Light mengingkari janji malah menyatakan persetujuan memberi bantuan sekiranya harta rampasan dan Kuala Kedah diberikan kepadanya secara peribadi dan bukan Syarikat Hindia Timur.
Oleh itu, pada bulan November 1771, Sultan Muhammad Jiwa telah mengutuskan surat ke Madras untuk mendapatkan bantuan dengan menawarkan ke semua Pantai Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang, tetapi hingga ke bulan Jun 1772, Sultan tidak menerima jawapan. Berikutan dari peristiwa itulah bermulanya pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.
Sumber : Arkib Negara Malaysia