seri_menanti-1-800px

Perbincangan Penyatuan Rembau, Tampin Dan Seri Menanti

11 Mac 1889 – Pada tahun 1889 satu perbincangan penyatuan Rembau, Tampin dan Seri Menanti telah diadakan di antara Sir Cecil Smith (Gabenor dan Ketua Turus Tanah jajahan dan Negeri-negeri Selat) dengan Pembesar-pembesar Jelebu, Sungai Ujong, Rembau, Seri Menanti dan Tampin. Dalam perjumpaan itu Rembau dan Tampin bersetuju untuk bergabung dengan Seri Menanti.

Daerah-daerah di Negeri Sembilan sebelum tahun 1889 adalah dibahagikan seperti berikut: Jelebu dan Sungai Ujong diletakkan di bawah satu pentadbiran dan mempunyai seorang Residen. Rembau dan Persekutuan Sri Menanti pula berada di bawah kelolaan Resident Council di Melaka. Daerah-daerah ini pula mempunyai seorang Pemungut Hasil dan Pendakwa masing-masing.

Pada masa itu hanya daerah Tampin yang belum mempunyai hubungan secara langsung dengan Inggeris. Pihak Inggeris terpaksa mencari jalan untuk mengawal daerah tersebut. Dan pada hari ini dalam tahun 1889, usaha pihak Inggeris di dalam perbincangan penyatuan Rembau, Tampin dan Seri Menanti itu berjaya apabila pembesar-pembesar tersebut bersetuju supaya ianya disatukan sebagai Konfederasi Seri Menanti. Konfederasi ini juga bersetuju menerima Residen British dan Martin Lister telah dilantik sebagai Residen yang pertama.

Sir Cecil Smith, pengganti Federick Weld ( bersara pada bulan Oktober, 1887) telah menjalankan satu polisi untuk mengukuhkan lagi kuasa British dengan menyatukan beberapa daerah yang wujud pada masa itu supaya menjadi unit yang lebih besar. Dengan adanya unit-unit yang lebih besar itu telah memudahkan pengendalian pentadbiran dan kuasa British di Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.