21 Julai 1875 – Pada tahun 1875, satu mesyuarat pembesar-pembesar Perak telah dilangsungkan di Durian Sebatang, Perak bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan campur tangan Inggeris khususnya pengenalan sistem Residen yang telah menghakis kuasa Raja dan pembesar-pembesar Melayu.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh oleh pembesar negeri Perak seperti Datuk Maharajalela, Datuk Laksamana dan Datuk Sagor. Sultan Abdullah yang baru menaiki takhta kerajaan Perak dengan bantuan Inggeris juga turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Dalam mesyuarat itu beberapa syor telah dikemukakan tentang cara-cara untuk membunuh J.W.W. Birch, Residen Inggeris di Perak. Pelbagai cara telah dicadangkan dan bentuk bertindak membunuh J.W.W. Birch.
Walaubagaimanapun akhirnya, syor Datuk Maharajalela dipersetujui dan beliau telah diberi tugas untuk melaksanakannya.
Dengan itu Datuk Maharajalela telah mengarahkan anak-anak buahnya Pandak Endut, Kulup Ali, Siputum, Ngah Jabar dan Setuah untuk menjalankan tugas membunuh Birch.
Akhirnya pada 2 November 1875 J.W.W. Birch, Residen Inggeris di Perak telah berjaya dibunuh di Pasir Salak Kampung Gajah ketika beliau sedang mandi.
Dengan kejayaan pembunuhan Birch itu telah menaikkan lagi semangat orang-orang Melayu Perak untuk menentang Inggeris yang menceroboh tanah air mereka dan membawa kepada tercetusnya peperangan yang besar di antara kedua pihak.
Sumber : Arkib Negara Malaysia