Malayan_Emergency-800px

Operasi Pembersihan Lembah Belum Dari Pengganas Komunis Tamat

16 Mac 1952 – Pada tahun 1952, operasi besar-besaran menentang pengganas-pengganas komunis yang menguasai Lembah Belum di Hulu Perak ditamatkan. Dalam operasi tersebut Lembah Belum telah dimusnahkan kerana komunis menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat bekalan makanan mereka bagi kawasan Hulu Perak.

Pengganas-pengganas komunis telah menguasai Lembah Belum sekitar pertengahan tahun 1951. Di Lembah tersebut terdapat sebelas buah kampung Melayu yang terpencil. Kedudukannya yang terpencil ini amat mudah dikuasai oleh pengganas-pengganas komunis.

Selama setahun pengganas komunis bermaharajalela dan memutuskan segala perhubungan kampung-kampung itu dengan dunia luar. Pengganas komunis juga telah mengenakan sistem percukaian padi dan memaksa penduduk menanam padi huma sebagai langkah untuk menambahkan bekalan makanan anggota-anggota mereka.

Operasi Pembersihan Lembah Belum Dari Pengganas Komunis

Pihak keselamatan telah menjumpai 14 khemah komunis, dua tempat menyimpan bekalan ubat dan sebuah tempat simpanan makanan. Oleh sebab itu, satu operasi besar-besaran untuk membersihkan Lembah Belum dari pengganas komunis telah dijalankan pada Mac 1952 dengan kerjasama pihak Polis, Tentera Udara Diraja British, Tentera Udara Diraja Australia, anggota Kelab Udara Diraja serta para pegawai kerajaan dari Kelantan.

Operasi ini adalah sebahagian daripada Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney dan Leftenan General Sir Harold Briggs yang dilantik sebagai Pengarah Operasi.

Akibat dari operasi tersebut seluruh penduduk di Lembah Belum itu dipindahkan ke kawasan yang terletak kira-kira 32.18 km (20 batu) dari Grik di Utara Perak. Kawasan baru itu merupakan kawasan penanaman padi yang subur bagi mereka memulakan penghidupan baru.

Kerajaan juga menyediakan kemudahan seperti sekolah dan pusat kesihatan. Di samping itu juga kerajaan membayar ganti rugi dalam bentuk wang ringgit akibat pemindahan beramai-ramai itu.

Setelah pemindahan selesai dilakukan, pihak polis dan tentera telah memusnahkan segala sumber makanan di lembah tersebut dalam usaha memutuskan bekalan makanan pengganas-pengganas komunis di sekitar kawasan Hulu Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.