jata_johor-800px
Sejarah

Acheh Menyerang Batu Sawar, Johor

07 Mei 1613 – Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Acheh menyerang Batu Sawar, Johor pada tahun 1613. Serangan ini telah dilakukan kerana kerajaan Acheh tidak menyetujui persahabatan Johor dengan Portugis.

Kecenderungan Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III untuk bersahabat dengan Portugis bermula sejak awal tahun 1610 lagi apabila seorang putera baginda telah berkahwin dengan sepupunya puteri Raja Siak. Raja Siak yang telah bersahabat baik dengan orang-orang Portugis telah mempengaruhi Sultan johor supaya dengan bersahabat Portugis.

Angkatan Perang Acheh yang menyerang Batu Sawar dan juga Kota Sekarang telah berperang selama 29 hari sebelum berjaya menawannya. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama-sama adinda baginda, Raja Abdullah serta Bendahara Tun Seri Lanang telah ditawan dan dibawa ke negeri Acheh.

Semasa di Acheh, Sultan Alauddin telah diberi layanan yang baik dan Raja Abdullah telah dikahwinkan dengan seorang puteri Acheh iaitu adinda Sultan Iskandar Muda demi mempereratkan kembali tali persaudaraan keluarga diraja di antara kedua buah negara itu. Raja Abdullah kemudiannya telah dihantar balik ke negeri Johor bersama-sama angkatan dan perang Acheh serta membawa sejumlah perbelanjaan untuk membaiki dan membangunkan semula bandar Batu Sawar yang telah rosak akibat peperangan yang lalu itu.

Bendahara Tun Seri Lanang yang tinggal di Acheh telah meneruskan kerja-kerja menyusun dan membaiki Sejarah Melayu yang telah dimulakan semasa di Johor dahulu. Tun Seri Lanang juga telah berkesempatan berkenalan dengan pengarang dan ulamak yang terkenal di Acheh seperti Sheikh Nuruddin Ar-Raniri, Tuan Burhat, Hamzah Fansuri lain-lain. Mereka ini mendapat galakkan daripada Sultan Iskandar Muda untuk memajukan persuratan Melayu dan agama Islam.

Selepas lebih satu tahun Sultan Alauddin tinggal di Acheh, akhirnya baginda telah dibenarkan pulang ke negeri Johor. Baginda telah berjanji dengan Sultan Acheh akan membantu Acheh dalam peperangan melawan orang-orang Portugis dan tidak membenarkan orang-orang Belanda tinggal di negeri Johor lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard