Sudirman Haji Arshad Meninggal Dunia

Sudirman22 Februari 1992 – Pada hari ini dalam tahun 1992, penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia awal pagi di rumah kakaknya Datin Hajah Rodziah Haji Arshad di Bangsar, Kuala Lunmpur akibat penyakit radang paru-paru. Allahyarham dibawa pulang untuk disemadikan di kampung halaman di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, Kampung Tok Embun, Jalan Mentakab, Temerloh.

Sudirman Haji Arshad, anak ke 7 daripada 9 adik-beradik dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Allahyarham Sudirman mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Temerloh dan menyambung pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh dan Sekolah Menengah Abu Bakar Kuantan sehingga tamat Tingkatan 6. Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya dan meraih Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1980 dan di iktiraf sebagai peguam pada tahun 1984.

Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM di peringkat akhir pada tahun 1976. Kemuncak kepada kariernya sebagai penyanyi ialah apabila beliau berjaya memenangi anugerah Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mei 1989 di Royal Albert Hall, London.

Selain menyerlah sebagai seorang penghibur, Allahyarham juga merupakan seorang usahawan, jurnalis, penulis, penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, kartunis dan pelakon.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen