Semangat_Patriotik-Sudirman

Sudirman Haji Arshad Meninggal Dunia

22 Februari 1992 – Allahyarham Dato’ Sudirman bin Haji Arshad, DSAP, JMN, AMN, AMP, juga dikenali sebagai Sudirman telah meninggal dunia pada 22 Februari 1992. Beliau meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.

Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di No. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang . Beliau merupakan anak ke 7 daripada 9 adik-beradik. Ibunya Hajah Romlah binti Dahalan pernah menjual kain ela dan pakaian dan juga mengambil upah untuk membuat sulaman dan membuka kelas jahitan manakala bapanya Haji Arshad bin Haji Hassan seorang pengurus Syarikat Bas Temerloh.

Pendidikan Awal

Allahyarham Sudirman mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abu Bakar di Mentakab, Pahang (1963-1968), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia di Temerloh, Pahang (1969-1971) sehingga beliau menamatkan Tingkatan 3 dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar di Kuantan, Pahang (1972-1975) sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki Tingkatan 6, beliau menjalani kursus persediaan di Institut Teknologi Mara, Petaling Jaya.

Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran dalam Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Pada tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam pada tahun 1984.

sudirman_di_bintang_rtm_1976

Kehidupan Sebagai Seniman

Beliau mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Dewan Pay Fong, Melaka pada 11 Ogos 1976. Sudirman merupakan seorang artis yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Anugerah dan pencapaian

  • 1976 – Juara Bintang RTM 1976
  • 1977 – Penghibur Terbaik RTM 1977
  • 1978 – Anugerah Seri Angkasa – Penghibur TV Terbaik
  • 1982 – Festival Filem Malaysia Ke-3 – Dicalonkan
  • 1985 – Anugerah Seri Angkasa – Penghibur TV Terbaik
  • 1985 – Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia 1985
  • 1987 – Anugerah Juara Lagu 1987 – Persembahan Terbaik
  • 1987 – Anugerah Bintang Cemerlang 1987 – Penyanyi Lelaki Cemerlang Terbaik
  • 1988 – Pingat Ahli Mangku Negara
  • 1989 – Anugerah Bintang Popular 1989 – Penyanyi Lelaki Popular
  • 1989 – Asia’s Number One Performer 1989
  • 1989 – The Guinness Stout Effort Award
  • 1992 – Pingat Ahli Mahkota Pahang – Dianugerahkan pingat oleh Sultan Pahang
  • 1992 – Darjah Johan Mangku Negara. Anugerah ini bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 6 Jun 1992
  • 1993 – Penghibur No. 1 Malaysia – Anugerah ini diberikan oleh akhbar New Straits Times
  • 1993 – Anugerah Industri Muzik – Anugerah Khas
  • 2009 – Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang. Anugerah gelaran Dato’ oleh Sultan Pahang selepas kematiannya pada tahun 1992. Kakaknya, Datin Rodziah Arshad mewakili beliau untuk menerima pingat ini.

koleksi_tin_sudi

Keusahawanan

Menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama ‘‘Sudi’’.

Membuka ‘‘Sudi Shoppe’’ di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur yang menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular dan ‘merchadising’ keluaran dirinya, termasuk cermin mata hitam yang fleksibel.

Menubuhkan syarikatnya ‘‘Sudirman Productions’’ pada tahun 1987.

sejarah_awal_sudirman

Bidang penulisan dan kartunis

Kolumnis ruangan ‘Teringat-ingat’ dalam majalah hiburan URTV, terbitan Utusan Melayu.

Residen writer di Kumpulan Karangkraf yang bertugas menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja.

Sejarah Awal Sudirman – Menceritakan kisah-kisah awal hidupnya melalui buku kartun Sejarah Awal Sudirman yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf pada tahun 1991.

Dari Dalam… Sudirman – Disiarkan melalui ruangan Cetusan Rasa kelolaannya yang terbit seminggu sekali melalui akhbar BACARIA terbitan Karangkraf dari 5 Mei 1983 hingga 7 Ogos 1984.

Taming Si Budak Pintar – Memenangi Hadiah Pertama dalam Mobil-Malaysian Association of Book Publishers Awards, anugerah bagi novel sastera kanak-kanak pada tahun 1995.

Sakit Dan Meninggal Dunia

Pada 17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama 4 hari. Beliau telah dilaporkan pengsan setelah terjatuh. Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Sya’ban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya, Datin Rudiah binti Haji Arshad yang beralamat di No. 16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan mengidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama jam 3:45 petang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.