H. I. D. S. – Persetujuan Penerimaan Lagu Kebangsaan Negeri Selangor

16 Februari 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor telah mempersetujui untuk menerima lagu ‘Duli Yang Maha Mulia’ yang diubah dan disusun oleh Encik Saiful Bahri sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang baru. Lagu ini diterima oleh Majlis Mesyuarat Dewan Di Raja bersama-sama DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Shah pada 20 Februari, 1967 dan dirasmikan pada 8 Mac 1967.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang pertama ialah lagu ‘Cantik Manis’ iaitu sebuah lagu Melayu yang oleh dipilih oleh DYMM Almarhum Sultan Sulaiman Shah bersama-sama dengan Raja Haji Bot. Ahli-ahli pancaragam yang memainkan lagu ini terdiri dari orang-orang Filipina dan tiga orang India dengan diketuai oleh Daniel Ortega, seorang Filipina.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang kedua ialah sebuah lagu yang berentak lagu Barat dan telah mula dimainkan kira-kira pada tahun 1908. Lagu ini digubah oleh Daniel Ortega dan senikatanya disusun oleh Persatuan Guru-guru Melayu Selangor.

Memandangkan lagu kebangsaan ini kurang mempunyai unsur-unsur kesenian Melayu, maka dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada 26 November 1963, DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz mencadangkan supaya satu lagu lain dipilih dengan cara bertanding. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1967, lagu ‘Duli Yang Maha Mulia’ telah dipersetujui untuk diterima sebagai lagu Kebangsaan Negeri Selangor hingga ke hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen