H.I.D.S. – Persetujuan Jepun Untuk Kemerdekaan

ibrahim-yaacob
Ibrahim Yaacob

26 Julai 1945 – Pada hari ini dalam tahun 1945 Pentadbiran Tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia. Berita persetujuan tersebut disampaikan kepada pihak nasionalis, terutama sekali kepada pemimpin KRIS1.

KRIS dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy. KRIS ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia. la adalah pertubuhan nasionalis yang mendapat sokongan daripada pentadbiran tentera Jepun dan dasarnya merupakan lanjutan daripada dasar-dasar KMM (Kesatuan Melayu Muda)2.

Menjelang bulan Jun 1945 Jepun telah mula merasakan kekuatannya semakin lemah dan pengaruh di kalangan orang-orang Melayu mula berkurangan. Di dalam kesempitan ini Jepun merasakan perlu untuk memenangi semula hati rakyat terutama golongan nasionalis di Tanah Melayu dan Indonesia.

Akhirnya pentadbiran Tentera Jepun di Indonesia berjanji memberi kemerdekaan kepada Indonesia. Sementara itu golongan nasionalis Tanah Melayu telah menuntut supaya Tanah Melayu juga turut dimerdekakan dan dimerdekakan sebagai sebahagian daripada Indonesia. Pihak nasionalis Indonesia bersetuju dengan cadangan tersebut dan pada hari ini dalam tahun 1945 pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan bersama kepada Tanah Melayu dan Indonesia.

Pada akhir bulan Julai 1945 persidangan kedua Setiausaha Agung Pentadbiran Tentera Jepun bagi Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Tanah Melayu telah diadakan di Singapura. Dalam persidangan tersebut kemerdekaan Indonesia telah dibincangkan.

Pada 12hb. Ogos, 1945 rombongan kemerdekaan Indonesia diketuai oleh Sukarno dan Mohd. Hatta telah singgah di Taiping sekembali mereka dari Saigon setelah menemui Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tentera Jepun bagi Wilayah Asia Tenggara. Ibrahim Haji Yaakob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy daripada KRIS telah mengadakan rundingan dengan KRIS rombongan Sukarno dan Hatta itu. Dalam rundingan itu pemimpin-pemimpin Indonesia mengulangi persetujuan mereka mengenai kemerdekaan bersama Tanah Melayu-lndonesia dan menyatakan bahawa perisytiharan itu akan dibuat pada minggu berikutnya. Ibrahim Yaakob telah berjanji akan menghantar wakil Tanah Melayu seramai lapan orang ke Indonesia yang terdiri dari empat orang wakil pemimpin nasionalis dan empat orang wakil raja-raja Melayu.

Sementara itu Ibrahim Yaakob telah membuat rancangan tertentu di Tanah Melayu bagi menghadapi kemungkinan kedatangan Indonesia ke Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah. Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba kepada pihak Berikat. Dalam keadaan begini Sukarno dan Hatta telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa menyebut nama Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Wilayah Indonesia Raya. Tanah Melayu telah ditinggalkan untuk berjuang bersendirian dan ini menyebabkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia gagal.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen