Burhanudin_al-Helmi-800px
Sejarah

Pengisytiharan Perjanjian Taiping

12 Ogos 1945 – Pengisytiharan Perjanjian Taiping merupakan satu perjanjian yang telah diisytiharkan di Taiping, Perak.

Perjanjian itu adalah di antara Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ibrahim Yaakub sebagai pemimpin-pemimpin KRIS, (kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) dengan pemimpin-pemimpin Kebangsaan Indonesia, (Sukarno dan Mohd Hatta).

Dr. Burhanuddin bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam KMM telah memperjuangkan cita-cita kemerdekaan Tanah Melayu dan berusaha untuk mencapai kemerdekaan dalam lingkungan Melayu Raya yang meliputi Indonesia dan Tanah Melayu.

Oleh itu apabila pendudukan Jepun bermula, maka Jepun telah menyatukan pentadbiran Tanah Melayu dan Indonesia bagi memenuhi cita-cita mereka.

Burhanuddin Al Helmy

Burhanuddin Al Helmy

Pada hari ini pemimpin-pemimpin KRIS telah bertemu dengan Sukarno dan Mohd Hatta di Lapangan Terbang Taiping, Perak, iaitu dalam perjalanan pulang dari Markas Tentera Jepun Asia Tenggara di Saigon.

Sehubungan itu satu persetujuan telah dicapai bahawa Tanah Melayu akan bersama-sama dengan Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Bagaimanapun cita-cita ini gagal apabila pemerintah tentera Jepun di Tokyo mengisytiharkan bahawa mereka menyerah kalah pada 17 Ogos 1945.

Perjanjian Taiping pada hari ini dalam tahun 1945, gagal mencapai impiannya untuk membentuk ‘Melayu Raya’, kerana kekalahan tentera Jepun kepada pihak Inggeris.

Walau bagaimanapun Indonesia tetap mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945 manakala Tanah Melayu pula mengisytiharkan kemerdekaannya dalam pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ibrahim_yaacob-800px
Sejarah

Persetujuan Jepun Untuk Kemerdekaan

26 Julai 1945 – Pada tahun 1945 Pentadbiran Tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia. Berita persetujuan tersebut disampaikan kepada pihak nasionalis, terutama sekali kepada pemimpin KRIS.

ibrahim-yaacob

Ibrahim Yaacob

KRIS dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy. KRIS ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia. la adalah pertubuhan nasionalis yang mendapat sokongan daripada pentadbiran tentera Jepun dan dasarnya merupakan lanjutan daripada dasar-dasar KMM (Kesatuan Melayu Muda).

Menjelang bulan Jun 1945 Jepun telah mula merasakan kekuatannya semakin lemah dan pengaruh di kalangan orang-orang Melayu mula berkurangan. Di dalam kesempitan ini Jepun merasakan perlu untuk memenangi semula hati rakyat terutama golongan nasionalis di Tanah Melayu dan Indonesia.

Akhirnya pentadbiran Tentera Jepun di Indonesia berjanji memberi kemerdekaan kepada Indonesia. Sementara itu golongan nasionalis Tanah Melayu telah menuntut supaya Tanah Melayu juga turut dimerdekakan dan dimerdekakan sebagai sebahagian daripada Indonesia.

Pihak nasionalis Indonesia bersetuju dengan cadangan tersebut dan pada hari ini dalam tahun 1945 pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan bersama kepada Tanah Melayu dan Indonesia.

Pada akhir bulan Julai 1945 persidangan kedua Setiausaha Agung Pentadbiran Tentera Jepun bagi Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Tanah Melayu telah diadakan di Singapura. Dalam persidangan tersebut kemerdekaan Indonesia telah dibincangkan.

Pada 12 Ogos 1945 rombongan kemerdekaan Indonesia diketuai oleh Sukarno dan Mohd. Hatta telah singgah di Taiping sekembali mereka dari Saigon setelah menemui Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tentera Jepun bagi Wilayah Asia Tenggara. Ibrahim Haji Yaacob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy daripada KRIS telah mengadakan rundingan dengan KRIS rombongan Sukarno dan Hatta itu.

Dalam perundingan itu pemimpin-pemimpin Indonesia mengulangi persetujuan mereka mengenai kemerdekaan bersama Tanah Melayu-lndonesia dan menyatakan bahawa perisytiharan itu akan dibuat pada minggu berikutnya.

Ibrahim Yaacob telah berjanji akan menghantar wakil Tanah Melayu seramai lapan orang ke Indonesia yang terdiri dari empat orang wakil pemimpin nasionalis dan empat orang wakil raja-raja Melayu.

Sementara itu Ibrahim Yaacob telah membuat rancangan tertentu di Tanah Melayu bagi menghadapi kemungkinan kedatangan Indonesia ke Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah. Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba kepada pihak Berikat.

Dalam keadaan begini Sukarno dan Hatta telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa menyebut nama Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Wilayah Indonesia Raya. Tanah Melayu telah ditinggalkan untuk berjuang bersendirian dan ini menyebabkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia gagal.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard