H. I. D. S. – Perjanjian Sultan Brunei-Raja Sarawak (SIR Charles Brooke) Mengenai Penyerahan Daerah Baram

31 Mei 1885– Pada hari ini dalam tahun 1885, satu perjanjian mengenai penyerahan daerah Baram telah ditandatangani di antara Sultan Brunei, Sultan Hashim Jalilu-Alam Akamuddin ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin, dengan Sir Charles Brooke, Raja Sarawak.

Perjanjian ini mengandungi lima perkara:

  • PERTAMA- Sultan Brunei bersama-sama wazir-wazir dan menteri-menterinya mengakui menyerahkan hak daerah-daerah pantai dari Tanjong Kedorong ke bahagian Timur Kuala Baram hingga ke Teluk Plai, termasuk semua sungai yang mengalir antara Tan ong Kedorong dan Teluk Plai, serta segala daerah dalam lingkungannya, kepada Raja Sarawak, Sir Charles Brooke;
  • KEDUA- Sir Charles Brooke serta waris-warisnya bersetuju membayar sebanyak $3,000 setiap tahun kepada Sultan Brunei serta waris-waris dan pengganti-penggantinya sebagai ganti rugi bagi cukai-cukai di daerah-daerah pantai serta kawasan dalam lingkungannya yang tersebut;
  • KETIGA- Berkenaan dengan daerah-daerah yang telah disebutkan itu, Kerajaan Sultan Brunei, atau kerajaan waris-warisnya, atau kerajaan pengganti-penggantinya hendaklah tidak lagi campur tangan dalam daerah-daerah tersebut, dan dengan sebenar-benarnya melepaskan daerah-daerah itu kepada Charles Brooke, Raja Sarawak, supaya pada masa hadapan hanya beliau dan waris-waris beliau sahaja yang berhak ke atas daerah-daerah pantai itu;
  • KEEMPAT- Berkenaan kuasa ke atas daerah-daerah pantai ini yang telah diserahkan kepada Baginda Queen oleh Sultan Brunei melalui perjanjian 1847, adalah dipersetujui bahawa Sir Charles Brooke tidak akan memindahkan atau menjual daerah-daerah pantai tersebut kepada kerajaan yang lain ataupun syarikat atau kepada sesiapa jua kecuali dengan kebenaran Kerajaan Inggeris, dan sebarang klausa yang berkaitan dengan perdagangan dan tarif yang dimeteraikan dalam perjanjian 1847 itu mestilah dipatuhi, sehinggalah ke suatu masa apabila perjanjian itu ditukar atau dipinda oleh kerajaan Sarawak dengan kebenaran Baginda Queen;

KELIMA- Pembayaran bagi daerah-daerah antara Tanjung Kedorong dan Teluk Plai di bahagikan seperti berikut:

  • (a) bagi Baram, Likau dan Semalajau, sebahagian dari Bakong dan sebahagian dari Miri dibayar sebanyak $3,000;
  • (b) dan selanjutnya bagi Suai, Sebuti dan Niah, sebahagian dari Bakong dan sebahagian dari Miri dibayar sebanyak $2,000 setahun;
  • (c) dan berkenaan dengan perkara pembayaran $2,000 setahun itu adalah juga menjadi isi kandungan dalam dokumen yang dipegang oleh Pengiran Temenggong Brunei.

Akibat dari perjanjian ini, Raja Sarawak, Sir Charles Brooke berjaya meresapkan lebih banyak lagi daerah-daerah Brunei menjadi daerah kekuasaan beliau. Daerah-daerah Baram, Likau, Semalajau, sebahagian dari Miri, Suai, Sebuti dan Niah telah menjadi hakmilik negeri Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen