finas_logo-800px
Sejarah

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Ditubuhkan Dengan Rasminya

01 Jun 1981 – Pada tahun 1981, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah ditubuhkan dengan rasminya. Sebelum penubuhan FINAS ini sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada 26 Julai 1980 oleh kerajaan yang dinamakan Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional.

Jawatankuasa itu ditugaskan untuk mengkaji tentang rancangan-rancangan memajukan perusahaan filem negara di samping tugas utamanya merangka dan merancangkan penubuhan FINAS. Jawatankuasa ini juga telah merangka akta yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen sebagai Akta 244 – Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia, 1981. Dengan kelulusan Parlimen ini maka FINAS telah dapat ditubuhkan dengan rasminya.

Matlamat penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia oleh kerajaan ini ialah untuk membangun, memelihara dan mengembangkan industri perfileman di Malaysia. Dengan adanya penglibatan pihak kerajaan sendiri ini FINAS telah berjaya menggerakkan aktivitinya dengan cepat dan berkesan. FINAS yang baru ditubuhkan ini diketuai oleh Tan Sri Abdul Samad Idris sebagai pengerusinya dan Encik Ismail Zan selaku Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pengarah FINAS serta 10 orang ahli Lembaga Pengurus yang lain yang terdiri daripada para pentadbir dan karyawan filem.

Kini FINAS telah berusia 9 tahun dan dalam jangka waktu itu ianya telah berjaya mengemudikan perkembangan dan kemajuan filem negara hasil kesungguhan para pentadbirnya.

Sesungguhnya penubuhan FINAS pada hari ini dalam tahun 1981 tersebut telah memberi nafas baru kepada kemajuan dunia filem di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard