H.I.D.S. – Perjanjian Low Ditandatangani

18 Oktober 1826 – Pada hari ini dalam tahun 1826, wakil politik Gabenor Pulau Pinang, Melaka dan Singapura bagi pihak Gabenor dan Syarikat Hindia Timur Kapten James Low dan Sultan Perak, Sultan Abdullah Mua’azzam Shah menandatangani suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Low.

Perjanjian ini adalah kerana sikap Raja Ligor yang tidak menghormati Perjanjian Burney yang ditandatangani oleh pihak Inggeris dengan Raja Siam pada tahun 1825. Setelah Kapten Burney kembali ke India, Raja Ligor tidak menghormati janjinya mengenai negeri Perak iaitu mengakui hak Sultan Perak untuk ‘memerintah negeri baginda sendiri’. Ini dapat dipastikan apabila Raja Ligor menghantar utusan dengan pasukan tenteranya ke Perak. Raja Ligor telah memberi jawapan yang berdolak-dalik apabila Gabenor Fullerton meminta penjelasan mengenai perbuatannya itu.

Oleh kerana bimbangkan amaran dari Siam itu dan mengenangkan betapa Inggeris telah mengecewakan harapan Sultan Kedah dengan tidak membantu baginda dari serangan Siam dalam tahun 1821, Sultan Perak berkehendakkan satu perjanjian persahabatan yang dapat menjamin keselamatan negeri baginda dari serangan Siam. Permintaan baginda itu dipersetujui lalu pada hari ini dalam tahun 1826, Perjanjian Low ditandatangani.

Di antara perkara-perkara penting yang termaktub dalam perjanjian itu ialah Sultan Perak tidak boleh membuat apa jua bentuk hubungan dengan Raja Siam dan pembesar-pembesarnya, dan juga dengan Raja Selangor dan pembesar-pembesar baginda, dan juga kuasa-kuasa lain yang berkaitan dengan politik, pentadbiran dan urusan Kerajaan Negeri Perak. Baginda juga mengaku tidak akan mengirim ufti Bunga Emas dan apa jua biaya. kepada Raja Siam. Sultan Selangor dan kuasa-kuasa lain.

Perjanjian Low ini telah memeranjatkan pihak atasan di India. Dalam menjanjikan perlindungan Inggeris ke atas negeri Perak itu, Kapten James Low telah melampaui batas kuasa dan arahan yang diberikan kepadanya. Beliau dikatakan telah melanggar dasar tidak campur tangan Syarikat Hindia Timur. Bagaimanapun, perjanjian itu mendapat restu dan kelulusan Gabenor Fullerton.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen