H. I. D. S. – Perjanjian British-Jelebu

26 April 1877 – Pada hari ini dalam tahun 1877, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Yamtuan Jelebu Tunku Abdullah bin Tuanku Radin dengan pihak British yang diwakili oleh Kolonel Anson. Perkara-perkaral yang dipersetujui dalam perjanjian ini ialah:

  1. Yamtuan Jelebu berjanji tidak akan mengganggu ketenteraman daerah-daerah Sri Menanti, Jempul, Johol dan lain-lain daerah yang bernaung di bawah Sri Menanti di bawah pemerintahan Yamtuan Antah;
  2. Yamtuan Jelebu bersetuju membenarkan sebarang aktiviti perdagangan dijalankan oleh sesiapa juga tidak kira Cina, Melayu dan bangsa-bangsa lain di Jelebu; dan
  3. Yamtuan Jelebu bersetuju merujuk dan meminta nasihat dari Sultan Johor sekiranya terjadi sebarang masalah di Jelebu atau negeri-negeri jirannya yang tidak dapat diselesaikan sendiri.

Perjanjian ini adalah merupakan ikrar Yamtuan Jelebu untuk tidak campur tangan dalam urusan luak-luak yang lain, terutamanya urusan luak-luak yang di dalam Konfiderasi Sri Menanti 2 di bawah pemerintahan Yamtuan Antah, iaitu Johol, Inas, Ulu Muar, Jempol, Terachi dan Gunong Pasir.

Persetujuan ini perlu oleh kerana semasa Yamtuan Sri Menanti, Tuanku Antah melarikan diri ke Johor kerana kalah berperang dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung dan British dalam tahun 1874, Dato’ Jelebu bersama-sama dengan Dato’ Rembau dan Dato’ Kelana Sungai Ujung telah mengisytiharkan diri menjadi Penghulu di Luak masing-masing dan tidak mengakui beraja ke Sri Menanti lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen