H.I.D.S. – Penutupan Rasmi Penjara Pudu

1 November 1996 – Pada hari ini dalam tahun 1996, Penjara Pudu yang terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur ditutup secara rasmi. Penutupan Penjara Pudu ini dilakukan dalam satu upacara penuh istiadat Jabatan Penjara dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Empat anggota dari Maktab Penjara Kajang meniupkan tetuang dengan lagu ‘Last Post’ bermaksud berundur, bagi mengiringi upacara menurunkan bendera penjara di perkarangan pintu masuk Penjara Pudu tepat jam 9.10 pagi. Upacara ini dilangsungkan selepas operasi pemindahan semua 1,580 orang banduan Penjara Pudu ke Penjara Sungai Buloh yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penjara, Omar Mohamad Dan, selesai kira-kira jam 8 pagi.

Penjara Pudu atau dulunya dikenali sebagai Pudu Goal mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara ini dibuat secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895. Pada awal pembinaannya penjara Pudu hanya berkeupayaan memuatkan seramai 600 orang pesalah. Kumpulan banduan terawal yang menghuni penjara ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang dan Rawang.

Akibat daripada kepesatan pembangunan persekitarannya, ciri-ciri keselamatan penjara unik ini semakin tergugat. Berikutan itu Penjara Pudu yang penuh dengan sejarah dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur serta sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan kepada negara ini terpaksa ditutup pada hari ini dalam tahun 1996 setelah berjasa lebih 100 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen