Penubuhan Batalion Pertama Regimen Persekutuan

Batalion Pertama Rejimen Persekutuan16 Disember 1953 – Pada hari ini dalam tahun 1953, Batalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini.

General Sir Gerald Templer yang merupakan ‘bapa’ kepada regimen ini tidak dapat turut bersama di hari yang bersejarah ini kerana uzur. Beliau telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell yang telah menerima tabik kehormatan dan membaca perutusan Sir Gerald Templer.

Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer antara lain telah megingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting yang mempengaruhi keadaan negara ini yang sedang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.

Batalion Pertama Regimen Persekutuan ini merupakan pasukan tentera yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua kaum. Anggota- anggotanya terdiri dari 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Jurulatihnya dipinjam dari Pasukan Tentera British dan Pasukan Askar Melayu. Seramai 440 orang anggota lain-lain pangkat telah menyertai perbarisan tamat latihan ini. Pegawai Pemerintah Pertama bagi Batalion ini ialah Leftenan Kolonel T. H. Trevor.

Upacara perbarisan dan penubuhan Battalion Regimen Persekutuan ini sesungguhnya merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen