H. I. D. S. – Penemuan Makan Sultan Sarawak Pertama

11 Mac 1993 – Pada hari ini 11.3.1993, Kerajaan Sarawak mengisytiharkan penemuan sebuah makam tua di sebuah kawasan hutan berdekatan dengan simpang Jalan Damai, Santubong, Kuching. Makam itu merupakan makam Sultan Sarawak yang pertama dan terakhir.

Mengikut kajian ahli sejarah, makam tersebut dianggarkan berusia lebih 363 tahun serta dipercayai milik Pengiran Muda Tengah Ibnu Sultan Muhamad (anak kedua Sultan Brunei ke-9, iaitu Sultan Muhamad Hassan). Pengiran Muda Tengah sering bertukar nama/gelaran seperti gelaran Sultan Ibrahim Ali Omar Shah dan Muhammad Saifuddin.

Kemangkatan baginda berpunca daripada perbuatan hulubalangnya sendiri yang telah bertindak menikam baginda dengan menggunakan tombak sewaktu baginda berehat di Batu Buaya, Pantai Santubong.

Penemuan makam itu, pada hari ini dalam tahun 1993, adalah satu kejayaan besar dalam memperbanyakkan sumber sejarah di Sarawak. Walaupun Sarawak pada masa kini tidak mempunyai raja/sultan tetapi sejarah awal menunjukkan Sarawak juga pernah mempunyai Sultan yang berasal dari Brunei.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen