H.I.D.S. – Pemisahan Singapura Dari Malaysia

Singapore withdraws09 Ogos 1965 – Pada hari ini dalam tahun 1965, Singapura telah dipisahkan dari Persekutuan Malaysia. Pengisyhtiharan mengenai pemisahan ini telah dibuat oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama di Dewan Rakyat. Kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 telah membebaskannya dari belenggu penjajahan Inggeris dan menjadikannnya sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Tindakan pemisahan tersebut merupakan jalan terbaik demi perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik di antara Kerajaan Malaysia yang dikuasai Parti Perikatan dan Parti Tindakan Rakyat yang berkuasa di Singapura. Tunku Abdul Rahman menyatakan antara sebab lain perpisahan ini ialah kerana sikap setengah pemimpin-pemimpin politik Singapura yang memperjuangkan konsep ‘Malaysia Malaysia’ yang menafikan institusi kesultanan Melayu serta hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura dari Malaysia dibuat dengan persefahaman bahawa Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, perniagaan dan perdagangan. Satu persetujuan telah dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen