Sejarah

Kota A Famosa Mula Dihancurkan Atas Arahan Inggeris

10 Ogos 1807 – Pada tahun 1807, Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka telah mula dihancurkan atas arahan Kerajaan Inggeris. Kota ini yang dibina oleh Portugis selepas tahun 1511, merupakan kubu pertahanan yang terkuat ketika itu.

Pemusnahan Kota A Famosa ini dilakukan sebagai langkah pertama Inggeris melemahkan Melaka, setelah menguasai Melaka dari Kerajaan Belanda pada 1795.

Sehingga 31 Disember 1807, kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, 2 tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah di letup dan diratakan.

Cadangan pemusnahan kota ini telah dibuat oleh Robert Farquhar, Leftenan Gabenor Pulau Pinang kepada Kerajaan Inggeris di India. Beliau telah menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan.

A_Famosa_Fortress

Beliau telah memberikan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu tentera ‘sepoy’ dan pengecilan ini akan membantu memajukan Pulau Pinang. Malah keadaan ini tidak akan menggalakkan kedatangan semula Belanda ke Melaka apabila tiba keamanan di Eropah.

Jadi pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Kota A Famosa ini dimusnahkan dan semua penduduk Melaka dipindahkan ke Pulau Pinang. Semasa kerja-kerja pemusnahan sedang dilakukan, Sir Stamford Raffles telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar.

A Famosa

Di sini, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan.

Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya dan ia akan merugikan Pulau Pinang.

Sebab yang kedua adalah kerana Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan untuk mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Manakala sebab ketiga pula penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di sini.

Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah.

Pemusnahan Kota A Famosa pada hari ini dalam tahun 1807, hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard