H. I. D. S. – Pembukaan Rasmi Kompleks Sirim Shah Alam

09 Mac 1977 – Pada hari ini dalam tahun 1977, Kompleks SIRIM di Shah Alam, Selangor telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj.

Kompleks ini mempunyai kemudahan infrastruktur seperti makmal ujian yang lengkap dengan ‘test bed’; makmal ujian fizikal dan material serta makmal konkrit dan simen. SIRIM atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia ini telah ditubuhkan pada tahun 1975 melalui penggabungan Institut Piawaian Malaysia (SIM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Industri Negara (NISIR).

Antara peranan penting SIRIM adalah:

  • menyediakan piawaian berdasarkan keperluan perindustrian dan ekonomi negara dengan mengeluarkan Sijil SIRIM;
  • menggalak dan melakukan penyelidikan saintifik dan industri terutama dalam industri asas tani, industri kecil dan industri yang berasaskan barangan tempatan. Ini akan dilakukan dengan kerjasama institusi penyelidikan seperti RRIM, MARDI dan Institut Penyelidikan Perhutanan; dan
  • menyediakan ‘extension and consultancy services’ termasuk menguji bahan mentah dan barangan keluaran industri, mengendalikan ujian bahan kimia, membuat pemilihan proses pengeluaran, menggunakan teknologi luar dan memperkenalkan teknologi baru serta mengenal pasti masalah yang berlaku dalam industri. Ini akan dilakukan dengan kerjasama MARA, MIDF, FIDA dan NPC.

    Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen