tin_mine_federated_Malay_states_(1902)-800px

Persetujuan Melombong Bijih Timah Di Selangor

08 Mac 1873 – Dalam tahun 1873, satu persetujuan melombong bijih timah di Selangor dan tanah jajahannya telah ditandatangani di antara Tengku Dhiauddin (Tengku Kudin) Wizurai Selangor dan jajahan takluknya bersama Count Charles Frederick Theodore Marie Maur de Gelors dari Ngadirojo di Jawa Tengah dan James Guthrie Davidson dari Singapura. Persetujuan ini dibuat supaya Wilayah Selangor yang dikelilingi oleh lombong bijih timah dapat dikerjakan sepenuhnya. Dalam perjanjian ini sebuah kompeni akan diwujudkan dengan modal sekurang-kurangnya 10,000 sterling bagi menjalankan kerja perlombongan di keseluruhan kawasan lombong bijih timah di wilayah Selangor.

Bagi menjamin kerja-kerja mencari dan mengerjakan lombong bijih timah berserta timbunan telerang, keladak dan lanar, persetujuan ini memperuntukkan lesen khas selama 10 tahun termasuk kebenaran dan izin mendiami beberapa daerah di Selangor, Kelang dan Bernam. Kebenaran ini juga termasuk segala kegiatan perlombongan dari urusan menyediakan sistem pengangkutan, menggali lombong, memperolehi bijih timah, melongok bahan buangan, membasuh, mencuci, mengasing bijih dari pasir, quartz, lumpur dan sebagainya juga urusan menghancur dan melebur timah.

bijih timah selangor

Pihak kedua juga dibenarkan membina bangunan kedai, rumah pekerja, kilang dan menempatkan alat-alat jentera, bahan api dan apa juga yang dirasakan sesuai dan berpatutan. Walau bagaimanapun sebarang kerosakan hendaklah dibaiki dengan biayai sendiri dan sekiranya ia melibatkan tanah milik peribadi, ganti rugi yang berpatutan mestilah diberikan malah dilarang mengambil tanah peribadi tanpa kebenaran pihak pertama.

Sebagai membalas kebenaran dan pemberian hak melombong ini pihak kedua hendaklah membayar kepada Wizurai atau wakilnya atau kepada pemerintah kerajaan Selangor sejumlah 5% daripada keluaran hasil kasar setiap bulan samada dalam bentuk bijih yang dilebur atau dalam bentuk wang iaitu 3 dolar bagi sebahara timah 312 kati yang dihasilkan oleh lombong tersebut.

Dari masa ke semasa kuatkuasa persetujuan ini pihak pertama mestilah sentiasa dimaklumkan mengenai jumlah penghasilan lombong berserta pelan kedudukan bahan bijih yang masih belum digali. Pihak pertama juga dibenarkan merekod segala maklumat yang dikehendaki berkaitan dengan perlombongan bijih timah di samping memeriksa dan mengarahkan suasana kerja yang adil dan tersusun malah pihak pertama adalah bebas untuk menggunakan peralatan dan kelengkapan perlombongan juga kemudahan sistem perhubungannya.

lombong bijih

Seandainya kerja perlombongan diabaikan pihak pertama bebas memasuki dan mengambil hasil lombong malah selepas notis 6 bulan kawasan itu boleh ditukar milik tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Kuatkuasa perjanjian 10 tahun ini boleh dipanjangkan 99 tahun selepas tarikh luput yang pertama dengan kadar sewa yang serupa kecuali diadakan satu persetujuan baru dalam tempoh tambahan ini. Kuatkuasa persetujuan ini samada 10 tahun pertama atau dalam tempoh tambahan 99 tahun, tertakluk di bawah kuasa merujuk kepada wakil yang dilantik oleh Gabenor Negeri-negeri Selat atau Setiausaha Tanah Jajahan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.