H.I.D.S. – Malayan Union-Utusan Khas Kerajaan Inggeris Mendapatkan Tandatangan Raja-Raja Melayu

Malayan_Union_protest11 Oktober 1945 – Pada hari ini 11.10.1945, Utusan Khas Kerajaan British tiba di Port Swettenham. Rancangan penubuhan Malayan Union telah diumumkan di Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945. Oleh itu, persetujuan dari Raja-Raja Melayu diperlukan dan semua perjanjian harus ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan perjanjian lama akan dimansuhkan.

Sir Harold Mac Michael adalah orang yang bertanggungjawab untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-Raja Melayu. Kedatangan beliau bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan tandatangan bagi perjanjian-perjanjian Malayan Union tetapi juga untuk mengetahui tentang kedudukan sultan-sultan pada masa itu.

Mac Michael dengan kebijaksanaannya telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja Melayu. Dengan tandatangan tersebut telah mengesahkan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946.

Tindakan mengambil tandatangan yang dilakukan oleh Mac Michael terhadap Raja-Raja Melayu telah mendapat tentangan yang hebat. Malah Raja-Raja Melayu tidak diberi kesempatan untuk meneliti dan mengkaji perjanjian Malayan Union itu. Tentangan hebat orang-orang Melayu menyedarkan pihak Inggeris bahawa penubuhan Malayan Union memerlukan sokongan padu daripada rakyat peribumi.

Akhirnya Malayan Union telah terkubur apabila Kerajaan Inggeris mengisytiharkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Penentangan terhadap Malayan Union adalah satu kemenangan untuk mengembalikan hak kedaulatan maruah bangsa Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen