H. I. D. S. – Kabinet Meluluskan Program Latihan Khidmat Negara

plkn_logo28 Mei 2003 – Pada hari ini dalam tahun 2003, Kabinet telah meluluskan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dan Akta Latihan Khidmat Negara 2003. Sejarah bermula apabila sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah dibentuk dalam Mesyuarat Kabinet pada 30 Oktober 2002 untuk mengkaji keperluan pelaksanaan Kerahan Tenaga ini. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan dianggotai oleh 7 Menteri, seorang Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri dan 5 Timbalan Menteri.

Mesyuarat pertama yang telah diadakan pada 12 November 2002, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah menerima pengunaan istilah ‘Khidmat Negara’ bagi menggantikan istilah ‘Kerahan Tenaga’. Pada 25 Jun 2003 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang pada 7 Julai 2003.

PLKN telah dilaksanakan pada 16 Febuari 2004, merupakan suatu program pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN bagi mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun keatas.

Sesungguhnya peranan PLKN bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda berjaya memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen