raja_haji_war-800px
Sejarah

Raja Haji Menyerang Bukit Cina

16 Mei 1784 – Pada tahun 1784, seorang pahlawan Bugis yang terkenal iaitu Raja Haji menyerang Bukit Cina manakala Tengkera pula diserang oleh askar Sultan Ibrahim yang ketika itu di bawah penguasaan Belanda.

Mulai tahun 1782, Raja Haji telah bermusuh dengan Belanda. Belanda telah mungkir janji tidak mahu membahagi dua harta rampasan yang mereka dapati, iaitu candu yang telah dirampasnya daripada sebuah kapal Inggeris di perairan laut Riau. Sejak itu Raja Haji mula menyerang kapal-kapal Belanda yang belayar di Selat Melaka dan mengganggu perniagaan orang-orang Belanda. Sementara itu Belanda juga selalu menyerang Riau dan angkatan perang Raja Haji.

Permusuhan antara kedua belah pihak ini telah berlanjutan dari tahun 1782 hingga 1784. Pada bulan Februari 1784, Raja Haji membuat serangan belas ke atas Melaka, dengan bantuan dari orang-orang Bugis dan Sultan Ibrahim dari Selangor.

Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji menyerang Bukit Cina, sementara askar Sultan Ibrahim serta orang-orang Rembau pula menyerang Tengkera. Serangan juga dilakukan ke atas tempat-tempat seperti Punggor, Duyung, Pernu, Ujong Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir dan Tanjung Keling, menyebabkan Melaka terkepung dan bantuan makanan terputus. Melaka hampir jatuh ke tangan Bugis, tetapi Belanda dapat mempertahankan Melaka dengan bantuan seramai 2,130 orang askar dari Betawi yang diketuai oleh Jacob Peter Van Braam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
raja_haji_war-800px
Sejarah

Belanda Menyerang Kubu Raja Haji Di Tanjung Palas, Telok Ketapang

18 Jun 1784 – Pada tahun 1784, angkatan kapal-kapal Perang yang diketuai oleh Admiral Jacobs Peter Van Braam dari Belanda menyerang kubu Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang yang jauhnya kira-kira 8 kilometer dari bandar Melaka.

Sebelum berlakunya serangan tersebut, orang-orang Riau, terutama Bugis dari Telok Ketapang dan orang-orang Selangor yang bersekutu dengan orang-orang Rembau dari Batang Tiga telah berkubu di Telok Ketapang dan telah memulakan serangan ke atas tempat-tempat di sekitar bandar Melaka seperti Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera.

Perselisihan antara Bugis dengan Belanda bermula disebabkan pembahagian harta rampasan yang diperolehi dari kapal Inggeris bernama ‘Betsy’ yang membawa muatan sebanyak 1,154 buah peti berisi candu antara pihak Belanda dan nakhoda Perancis tanpa pengetahuan Bugis.

Ini telah melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama antara Bugis dengan Kompeni Belanda yang memberi hak kepada Bugis untuk mendapatkan pembahagian yang sama dari harta rampasan tersebut tambahan pula rampasan tersebut dilakukan di perairan Riau.

Bermula dari itu Raja Haji memusuhi Belanda dengan membuat serangan-serangan yang mengganggu perniagaan Belanda di Selat Melaka. Gabenor Belanda di Melaka telah meminta bantuan dari Gabenor Jeneral Belanda di Betawi supaya menghantar bantuan ke Melaka.

Kedatangan angkatan kapal-kapal perang Belanda dari Betawi diketuai oleh Panglima Perang Belanda bernama Peter Van Braam. Angkatan itu terdiri dari 6 buah kapal besar dan beberapa buah kapal kecil, 2,130 orang askar dan 326 pucuk meriam telah berlabuh di Telok Ketapang.

Pertempuran hebat antara kedua belah pihak berakhir dengan kemangkatan Raja Haji bersama dengan panglima-panglima perangnya bernama Arong Lenga, Daing Salikang dan Raja Ahmad.

Walaupun askar-askar Bugis telah berperang dengan penuh keberanian namun mereka gagal melawan askar-askar Belanda yang bersenjatakan senjata-senjata moden.

Serangan Belanda ke atas kubu Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang ini memulakan siri-siri pertempuran di antara Bugis dengan Belanda di sekitar Selat Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard