voc_ship-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Di Antara Belanda Dengan Sultan Perak 1953

15 Disember 1653 – Pada tahun 1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Truijtman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Perak pernah dibuat sebelum ini oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda.

Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak.

Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak.

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653 juga tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Perak-800px
Sejarah

Utusan Perak Kepada Kompeni Belanda Di Melaka

 

16 Februari 1680 – Pada tahun 1680, Sultan Perak ketika itu Sultan Mahmud Iskandar Shah telah menghantar beberapa orang- orang besar Perak sebagai utusan baginda pergi ke Melaka untuk menyatakan persahabatan baginda dengan Kompeni Belanda. Tindakan menghantar utusan Perak kepada Kompeni Belanda ini adalah berikutan daripada perbuatan sepasukan Kompeni Belanda yang telah menguatkan kawalan mereka di pantai dan kuala sungai Perak bagi mengawal bangsa-bangsa lain daripada berdagang bijih timah di Perak.

Selepas penghantaran utusan itu pada 20 April 1690, Sultan Perak telah mengurniakan surat kuasa kepada seorang Ketua Pegawai Belanda yang tinggal di Perak bernama Adriaen Wylant. Surat kuasa tersebut telah memberikan beberapa keistimewaan kepada Pegawai Belanda berkenaan untuk menyerang, menangkap dan memenjarakan sesiapa sahaja yang keluar dari negeri Perak membawa timah tanpa membawa surat kebenaran.

Sebelum pengurniaan surat kuasa tersebut askar-askar Kompeni Belanda memang selalu mengganggu dan menghalang bangsa-bangsa lain daripada mendapatkan perniagaan bijih timah. Mereka juga telah membuat perhubungan perjanjian dengan Sultan Acheh agar memaksa Perak membenarkan hanya Acheh dan Belanda sahaja membeli bijih timah dari negeri Perak.

Kompeni Belanda juga membina loji dan gudang-gudang timah di negeri Perak untuk tujuan dagangan mereka. Walaupun begitu perdagangan timah orang-orang Belanda tetap berkurangan kerana orang-orang Perak yang tidak menyukai tindakan keras Belanda itu telah bertindak menyeludup keluar timah dan dijual kepada bangsa lain dengan harga yang lebih baik.

Sebagai tindak balas perbuatan orang- orang Perak, Belanda telah mengepong Kuala Sungai Perak dan mengawal Pantai Perak bagi menghalang penyeludupan timah, perbuatan ini menyebabkan kemerosotan perdagangan timah di Perak, lalu memaksa Sultan Mahmud Iskandar Shah menghantar utusan persahabatan ke Melaka pada hari ini dalam tahun 1680.

Sebaliknya Pegawai Belanda yang diberi kuasa itu telah menggunakan kekuasaan mereka dengan amat keras dan tiada berpatutan. Perkara ini telah menyebabkan perniagaan Kompeni Belanda di negeri Perak semakin merosot sekitar tahun 1682.

Pada tahun 1690 pula sekumpulan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Panglima Perak bernama Panglima Kulup telah menyerang Kota Belanda yang mengawal peniaga Perak di Pulau Pangkor dan membunuh askar-askar Belanda di situ. Pihak Kompeni Belanda kemudian telah mengarahkan askar-askar mereka supaya berundur dari perairan Perak dan kota tersebut telah ditinggalkan dari pantai negeri Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard