Tugu Peringatan Negara
Sejarah

Perasmian Tugu Peringatan Negara

08 Februari 1966 – Tugu Peringatan Negara diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pada 8 Februari 1966 ia telah siap dibina dan dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Tugu ini dibina sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960).

Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban. Tiang asal dialih ke Kompleks Tugu Peringatan Negara kini di kawasan Taman Tasik Perdana.

1st_tugu_negara

Tugu Awal

Pembinaan Tugu Peringatan Negara

Tapak Tugu Peringatan Negara dibuat daripada batu tertanam di dalam salji sejak beribu tahun di Kutub Utara. Tugu setinggi 15 meter ini diperbuat daripada gangsa dan merupakan arca berkumpulan yang tertinggi di dunia. Ia direka oleh pengukir dari Austria, Felix de Weldon. Tunku Abdul Rahman mendapat inspirasi untuk membina tugu ini kerana tertarik dengan hasil ukiran Felix de Weldon iaitu United States Marine Corps War Memorial (Iwo Jima Memorial) ketika lawatan Tunku ke Amerika Syarikat.

Menurut Utusan Malaysia dalam Rencana bertarikh 05 Oktober 2013, wajah yang menjadi acuan kepada patung berkenaan adalah bekas Menteri Besar Kedah yang keenam, Tan Sri Osman Aroff. Beliau telah dipilih secara rawak oleh Tunku Abdul Rahman untuk menjadi model. Tan Sri Osman kemudiannya beraksi dengan memakai pakaian seragam tentera dan menggayakan aksi seolah-olah sedang berperang di studio milik Felix de Weldon. Patung di bahagian tengah yang memegang bendera Malaysia itu pula adalah wajah Tunku ketika usia muda.

tan_sri_osman

Tan Sri Osman Aroff

Upacara Perasmian Tugu Peringatan Negara

Dalam ucapannya Tunku Abdul Rahman menganggap Tugu Peringatan Negara ini merupakan simbol dua kemenangan oleh para penduduk Tanah Melayu iaitu kemenangan ke atas pihak pengganas komunis dan kemenangan kepercayaan rakyat kepada negara. Tunku juga telah mengimbas kembali tentang penderitaan rakyat Tanah Melayu yang telah mengorbankan jiwa dan raga demi kejayaan negara. Majlis ini telah dihadiri oleh Presiden Korea, Chung Hee Park, orang-orang kenamaan dan kira-kira 100 waris pahlawan yang gugur semasa darurat pertama 1948.

Dalam upacara tersebut DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung telah menyingkap tirai kuning yang menutupi papan nama tugu dengan diiringi tiupan trompet yang memainkan irama menghibakan. Serentak dengan itu bendera Malaysia dinaikkan perlahan-lahan ke puncak tiang yang dipegang oleh salah satu patung pada tugu tersebut.

Percubaan Untuk Memusnahkan Tugu Peringatan Negara

Pada pagi 26 Ogos 1975 pengganas komunis telah cuba meletupkan tugu tersebut. Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Kesan letupan tersebut telah menyebabkan satu patung jatuh, dua patung putus kepala dan rosak pada bahagian kaki. Lantai marmar di sekeliling kawasan tugu turut retak sepanjang 0.6 meter disebabkan patung besar jatuh ke lantai. Kerja membaikpulih Tugu Peringatan Negara telah siap pada 11 April 1977 oleh Christoper Carney, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Upacara Memperingati Hari Pahlawan

Mulai 2010, lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya. Upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara tidak lagi diadakan kerana dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Selama ini upacara tersebut lakukan untuk memperingati Hari Pahlawan yang diadakan pada 31 Julai setiap tahun sejak 1963.

Sidang media tentang keputusan itu telah diadakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Jamil Khir Baharom. Keputusan ini sesuai dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 yang telah mengeluarkan fatwa bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
umno_logo-800px
Sejarah

Persidangan Perikatan Pemuda Umno Se Malaya

30 Julai 1950 – Pada tahun 1950, Raja Muda Selangor DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah telah merasmikan Persidangan Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya. Persidangan ini telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Dalam titah ucapan perasmian baginda, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah telah menzahirkan rasa sukacita baginda dapat bertemu dengan sekelian ahli Perikatan Pemuda UMNO. Baginda bertitah Perikatan Pemuda UMNO adalah satu bahagian dalam UMNO yang sangat mustahak dan baginda menyeru agar para pemuda akan bersatu-padu dan taat setia kepada Pertubuhan UMNO.

Perikatan Pemuda UMNO dalam persidangannya antara lain telah bersetuju mengadakan pakaian seragam jenis Kebangsaan dan jenis pakaian Barat bagi ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya setelah diperbincangkan dengan panjang lebarnya.

Ketetapan mengadakan pakaian seragam ini telah dicadangkan di Persidangan Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda UMNO yang telah diadakan di Butterworth Seberang Perai pada 26 Ogos 1949.

Rangka cadangan yang telah dibuat oleh jawatankuasa kecil yang menaja rancangan untuk mengadakan pakaian seragam ini telah dibentangkan dengan tiga syarat iaitu :-

  • pakaian seragam itu hendaklah dari bahan yang tidak mahal
  • bahan-bahan itu senang didapati dan
  • reka bentuk pakaian seragam ini senang dibuat.

Ketika keputusan muktamad diambil Persidangan Perikatan Pemuda UMNO telah meminda beberapa perkara dan keputusannya adalah seperti berikut :-

Pakaian cara Barat :-

1) Bagi kemeja, kain warna putih, lengan pendek dengan dua kocek di kiri dan kanan dengan butang dibahu

2) Seluar panjang kain kaki berwarna putih

3) Songkok Melayu warna hitam

4) Lencana UMNO disemat di sebelah atas luar kocek kiri baju kemeja

5) Sepatu getah jenis canverse bertumit rendah warna putih

6) Kain merah tulisan pemuda UMNO

7) Tali pinggang warna putih

Pakaian seragam jenis kebangsaan pula ialah :-

1) kain putih dengan reka bentuk potongan mengikut negeri masing-masing, baju berkocek tiga, dua di bawah kanan dan kiri dan saku di atas sebelah kiri

2) kain sarung tiga warna dipakai di luar baju

3) Lencana UMNO disemat dibaju luar kocek atas

4) Songkok Melayu warna hitam

5) Sepatu kulit warna kuning

Ketetapan pakaian seragam bagi Pemuda UMNO ini telah diterima dengan sebulat suara di Persidangan Perikatan Pemuda UMNO yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1950.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard