pilihanraya_1955-800px
Sejarah

Pilihanraya Persekutuan Yang Pertama

27 Julai 1955 – Pilihanraya Persekutuan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan telah diadakan pada tahun 1955 mempertandingkan sebanyak 52 buah kerusi. Parti-parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Perikatan yang terdiri daripada parti UMNO, MCA dan MIC.

Parti Perikatan mempertaruhkan seramai 52 orang calon, bagi tiap-tiap kawasan pilihanraya. Manakala Parti Negara, di bawah pimpinan Datuk Onn pula telah mengemukakan seramai 33 orang calon. Diikuti dengan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS) dengan 11 orang calon.

Antara Parti-parti lain yang turut serta mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak, Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu.

pilihanraya 1955

Pilihanraya 1955

Parti Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi lagi telah dimenangi oleh PAS.

Berikutan daripada itu Parti Perikatan telah berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin Parti Perikatan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 01 Ogos 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan telah membentuk kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Semangat kerjasama dan muhibah di kalangan anggota Parti Perikatan telah menjadi teras kepada kejayaan yang diperolehi serta membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parti_perikatan-800px
Sejarah

Perikatan Umno-Mca Menarik Ahli-Ahlinya Daripada Pentadbiran Kerajaan

13 Jun 1954 – Pada tahun 1954, satu ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA untuk menarik keluar semua ahlinya yang bukan rasmi dari mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut ketetapan yang dikeluarkan, ahli-ahli Perikatan yang dilantik (Nominated) sebagai ahli-ahli tidak rasmi oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Settlement kepada Majlis Kerja Persekutuan, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Settlement, Majlis-Majlis Mesyuarat Perbandaran, Bandaran dan Lembaga Bandaran akan meletak jawatan dari Majlis tersebut.

Ahli-ahli yang dipilih (elected) ke dalam majlis-majlis ini pula akan memulakan persidangan majlis-majlis tersebut. Ketetapan ini diambil sebagai tindakan tidak puas hari terhadap Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang melengahkan cadangan Perikatan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dan bebas bagi menyiasat dan mengkaji soal pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ketetapan yang diputuskan ini, dua orang Menteri Perikatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan jawatan. Mereka ialah Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman; Menteri Hasil Bumi dan Kol. H.S.Lee; Menteri Kenderaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Jawatankuasa Agung Pusat MCA telah melantik sebuah jawatankuasa bertindak yang akan menguruskan semua soal mengenai ahli-ahli MCA yang menjadi ahli dalam badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan kecuali badan-badan mengenai kebajikan dalam negeri.

Ketetapan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA menarik keluar ahli-ahlinya daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan begitu seriusnya perjuangan mereka menuntut kemerdekaan bagi negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard